Wartawan ini berjalan 33,000 km menyusur laluan manusia awal

Perjalanan Paul Salopek menyusuri laluan manusia awal keluar dari benua Afrika bukanlah kembara yang dibuat sewenang-wenang.

Wartawan yang pernah menerima anugerah Pulitzer sebanyak dua kali ini berjalan sejauh 21,000 batu untuk merakam kisah asal pengembaraan umat manusia.

Salopek, 54, memulakan perjalanannya keluar dari Ethiopia di benua Afrika. Tempat ini dianggap oleh sesetengah pengkaji sebagai titik mula peradaban manusia yang seterusnya melata di seluruh pelusuk bumi.

Perjalanan Salopek mengikuti garis masa dan tempat yang dianjurkan oleh pengkaji seperti Stephen Oppenheimer.

Dalam tulisannya di majalah ekspedisi berprestij National Geographic, Salopek berkata antara soalan yang sering diajukan kepadanya adalah sama ada beliau sudah hilang akal kerana sanggup berjalan sejauh itu.


Dalam tulisan khas yang diterbitkan sempena Hari Berjalan Sedunia, Salopek dengan tegas menolak andaian seperti itu.

“Sebenarnya perbuatan duduk itulah yang gila. Kita duduk terlalu banyak. Ia membuatkan kita sakit dan sering tidak berasa gembira,” kata Salopek.

Beliau memberi contoh kajian oleh Persatuan Jantung Amerika ke atas masyarakat Hadza – komuniti di Tanzania yang masih lagi mengamal aktiviti ekonomi primitif memburu dan mencari bahan makanan.

Kajian itu mendapati lelaki dewasa Hadza biasanya berjalan sejauh tujuh batu sehari. Itulah tahap yang sepatutnya mampu dicapai oleh manusia moden – 2,500 batu setahun, yang sama dengan jarak dari New York ke Los Angeles, kata Salopek.

Itulah kemampuan yang patut dicapai dengan rekaan unggul badan manusia, tegasnya. Oleh itu, jarak yang diliputinya dalam kembara ini adalah “normal”, kata wartawan itu lagi yang memulakan perjalanannya dari Tanduk Afrika pada 2013.

Tambahnya, kegiatan berjalan setiap hari membuatkan kaki dan jantungnya lebih kuat.

“Lebih penting lagi, ia menyegarkan minda saya. Merentasi pelbagai negara, benua dan zon masa dengan berjalan kaki, hari demi hari, bulan demi bulan, mengubah cara saya mengamati kehidupan di planet ini,” katanya lagi.

Selain itu, beliau mempelajari bahawa masyarakat di negara yang paling miskin lebih banyak berjalan.

“Di Ethiopia, di mana jarang terdapat pemilik kereta, semua orang berjalan kaki. Malah kanak-kanak yang kecil dapat memandu saya merentasi lanskap yang kompleks dengan laluan pejalan kaki.

“Di negara yang lebih kaya dan banyak kenderaan bermotor, masyarakatnya hilang perhubungan – bukan sahaja dengan alam tetapi dengan bentuk dunia itu sendiri.

“Kereta memusnahkan masa dan jarak. Bila kita terperangkap dalam gelembung besi dan kaca, dikurung di laluan bertar yang sempit, kita menjadi khayal dengan kelajuan, dan tidak dapat mencerap ruang,” kata Salopek lagi.

Beliau memberi contoh pengalamannya bersama masyarakat Arab Saudi yang gilakan kereta.

“Saya berasa tidak ada gunanya bertanya arah,” kata Salopek.

Sepanjang perjalanannya setakat ini, beliau dapat melalui upacara yang dilakukan oleh pengembara sebelumnya – setiap hari, beliau akan menemui tempat perkhemahan baru.

Salopek juga bersyukur kerana dapat menikmati banyak pemandangan indah dan berinteraksi dengan pelbagai jenis manusia sepanjang perjalanannya.

“Saya tidak akan dapat melakukannya jika saya hanya menjadi wartawan yang merentasi benua dengan jet atau kereta. Dengan berjalan kaki, saya sentiasa bertemu orang.

“Saya tidak boleh buat tidak endah atau hanya lalu di tepi mereka. Saya akan menyapa. Saya berinteraksi dengan orang asing lima, sepuluh atau dua puluh kali sehari,” kataya.

Dengan cara itu, beliau dapat berasa bahawa dunia ini lebih mesra, katanya yang akan menamatkan perjalanan di Tierra del Fuego, kepulauan yang terletak di kawasan paling selatan di benua Amerika Latin.

Selain melaporkan mengenai status pengembaraannya di laman Out of Eden Walk, Salopek juga tidak melepaskan peluang untuk melaporkan mengenai perkembangan sosio politik semasa.

Terbaru, tulisannya mengenai isu sempadan di wilayah bergolak South Ossetia dan Georgia disiarkan oleh majalah terkemuka Politico.

 


Anda mempunyai kisah atau maklumat mengenai pengembaraan menarik yang dikongsi bersama pembara KEMBARA.MY? Maklumkan kepada kami.
E-mel: [email protected]

Facebook: KembaraMY

Untuk tujuan pengiklanan, hubungi jabatan pemasaran KEMBARA.MY
E-mel: [email protected]
Telefon/ WhatsApp: 0196652556

Comments

comments