Walau rumahnya kecil, jiwa orang Thailand besar

Kembara Memburu Hikmah

Kami melepasi sempadan Malaysia-Thailand pada hari ke-19 dengan segunung harapan. Kini barulah kami dapat rasakan bahawa pengembaraan ini benar-benar sudah bermula.

Di sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, kami disambut dengan mesra oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ini memberi dorongan kepada kami untuk terus mara ke sasaran – Masjidil Haram!

aulia2Ketika tiba di sempadan ini, kami tertanya-tanya. Bagaimana nasib kami nanti di Thailand? Negeri-negeri di selatan Siam ini kadang-kadang bergolak.

Namun kami tetap menggagahkan diri kerana kami bukan hanya berdua. Tiga lagi rakan kami, Amirul, Aiman dan Syafiq dari Aulia Films menyusul dari Kuala Lumpur.

Tujuan kami sama cuma mereka menggalas beg – backpacking.

Selain itu, segala pergerakan kami dipantau oleh ‘ibu pejabat’ KMH – ibu dan saudara mara kami.

Pada malam pertama di luar negara, kami menginap di Masjid Da Run Hu Da, di Hat Yai. Seterusnya di Songkhla kami berdepan suhu panas sehingga 33 darjah Celcius.‪ Kami terpaksa banyak berehat semasa perjalanan ke Nakhon.

Di Kradang-Nga kami menginap bersama keluarga Tok Imam Lok yang meraikan kami. Pada hari berikutnya, kami diraikan pula oleh keluarga Haji Omar yang fasih berbahasa Melayu Pattani.

Haji Omar juga menemani kami dengan basikalnya sehingga ke Hua Sai, sejauh 40 kilometer.

Demi keselamatan

Kesemua kos makan dan minum kami di situ ditanggung oleh Haji Omar. Kami bercadang untuk tidur di masjid sahaja, tapi ditegah oleh Haji Omar atas alasan keselamatan.

chaiya1Lalu, beliau membawa kami ke Hua Sai Palm Resort. Kami tertanya-tanya, mengapa bawa kami ke sini?

Rupa-rupanya beliau hanya berhajat agar kami bermalam di situ. Segala kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh beliau.

Tiada apa yang boleh kami balas selain mendoakan keluarga Hj Omar dirahmati Allah dan dibuka pintu rezeki seluas-luasnya.

Hari seterusnya, hari ke-24, kami menuju Pondok Ban Tan di Nakhon Si Tammarat, kira-kira 40 kilometer dari Hua Sai.

Susur galur masyarakat muslim di Nakhon Si Tammarat atau Negeri Sri Maharaja ini sama dengan kita di Tanah Melayu.

Warga Pondok Ban Tan menyambut kami dengan begitu baik. Keikhlasan mereka begitu terasa sehingga ke lubuk hati.

Di sini, kami meluangkan masa tujuh hari. Krew penggambaran dari Aulia Films membuat rakaman dan rumusan perjalanan kami dari Sadao Port sehingga ke Nakhon Sittamarat.

Kami juga mengambil kesempatan untuk menyelenggara basikal.

Rumah kecil, tandas seperti hotel lima bintang

Esoknya, pada 4 Mei, pelajar Pondok Ban Tan mula mendaftar bagi sesi 2016 setelah bercuti selama satu setengah bulan.

Krew Aulia Films seterusnya berangkat ke perkampungan nelayan di daerah Tha Thong, Surat Thani.

Rata-rara penganut Islam di sini bekerja sebagai nelayan dan peniaga kecil-kecilan. Terdapat lebih dari empat buah masjid yang menjadi pusat ibadah dan kesatuan masyarakat Islam.

Budi pekerti dan akhlak mereka semuanya bagus sekali, terutama dalam meraikan musafir dan pengembara seperti kami.

songket1Kami melihat, cara hidup masyarakat Islam di sini sama sahaja seperti di Malaysia. Thailand mempunyai raja yang terbuka pemikirannya. Beliau tidak menghalang rakyatnya untuk mngamalkan kepercayaan masing-masing.

Bezanya, Islam tidak digerakkan oleh kerajaan seperti di Malaysia. Di negara ini, jemaah tabligh banyak memberi peranan untuk mnghidupkan masjid-masjid di Thailand dan mengingatkan masyarakat muslim kepada ajaran Islam dari semasa ke semasa.

Walau keterbatasan dari segi bahasa, layanan warga Thailand sangat baik terutama dalam menyediakan makanan dan tempat tinggal.

Kita juga patut belajar dengan warga Thai dari segi kebersihan. Walaupun rumah mereka tidak besar, namun rumah dan tandas mereka amat bersih seperti hotel kelas lima bintang.

Cahaya di Surat Thani

Seterusnya pada 8 Mei, kami diiring oleh kumpulan Surat Thani Cyclist hingga ke Phum-Riang sejauh 58 kilometer.

Kini genaplah sebulan kami mengembara dengan menempuh laluan sepanjang lebih 1,300 kilometer. Namun perjalanan kami masih jauh.

ladanggaramKrew Aulia Films selesai menjalankan penggambaran dokumentari selama tiga hari di daerah Chaiya (bermaksud “cahaya”), di Surat Thani.

Mereka bermula di perkampungan Islam Phum Riang, beriktikaf di Masjid Jamatul Islam sambil menyelidik maklumat berkenaan penduduk Islam setempat dan lokasi masjid bersejarah untuk kami ziarahi.

Keesokan harinya kami bergerak dari Phum Riang ke Kampung Tok Chao. Di sini, sebuah masjid berusia lebih 400 tahun masih berdiri teguh.

Masjid iyang tersohor dengan nama Jama’atussholatin Awwalu ini diasaskan oleh seorang Sultan Melayu bernama Sultan Sulaiman.

Sebelum singgah di masjid tersebut, kami mengambil keputusan untuk menziarahi Makam Sultan Mustafa Sulaiman, gabenor Chaiya pada kurun ke-17, pewaris kepada Sultan Sulaiman.

Masyarakat di sini rata-rata bekerja sebagai nelayan, petani dan penenun songket kecil-kecilan. Menurut mereka, Masjid Jama’atussholatin Awwalu ini dalam perencanaan untuk dibaikpulih kembali. Syukur pada Ilahi.

Sambung perjalanan dengan keretapi

Pada hari ke-37, kami di Prachuat Kiri Khan. Kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Bangkok dengan keretapi untuk mengejar waktu. Kami perlu tiba di Kedutaan Malaysia selewat-lewatnya pada 20 Mei.

bkk malaysian embassySeterusnya di Bangkok, kami meluangkan masa di kota ini selama empat hari. Kami meronda-ronda di sekitar bandar sambil mencari alat ganti basikal.

Kami bergabung semula dengan krew Aulia Films dan beriktikaf di Masjid Jawa. Catatan mereka boleh diikuti di sini.

Keesokan harinya, kami memenuhi jemputan untuk majlis silaturrahim anjuran kedutaan Malaysia. Kami dirai oleh kakitangan Datuk Nazirah Hussain, duta Malaysia di negara ini.

Kami terasa seperti di Kuala Lumpur semula, ramai yang boleh bertutur bahasa Malaysia. Televisyen pula memancarkan siaran Astro.

Kami bercadang untuk terus ke Mae Sot dari Bangkok dengan menaiki bas memandangkan masa semakin suntuk. Waktu untuk kami tinggal di Thailand hanya berbaki lima hari.

Sebulan sudah berlalu semenjak kami menjejakkan kami di sini, rasanya begitu pantas masa berlalu.

Myanmar menanti kami dengan cabaran yang lebih hebat memandangkan Ramadhan hampir tiba.

 


Ahmad dan Adilah dan krew Aulia Films sudahpun berada di Yangon Myanmar sejak 3 Jun.

Tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KEMBARA.MY.

Comments

comments