VIDEO: Demi alam, remaja 16 tahun tinggal sendirian di gunung Scotland

Zeki Basan, 16 tahun tinggal seorang diri dalam sebuah teepee di Isle of Skye, kawasan pergunungan dengan bentuk muka bumi yang mencabar di Scotland.

Kawasan tersebut sukar dimasuki dan tapak perkhemahannya itu juga tidak dapat ditemui dengan mudah.

“Mungkin ganjil bagi seorang remaja berusia 16 tahun, tapi saya suka tinggal sendiri dan saya amat berminat untuk memelihara ruang liar,” kata Basan, seperti dilapor laman The Guardian.

Basan hanya mengunakan telefon bimbit sekali dalam tempoh beberapa minggu untuk berhubung dengan ibu dan rakan-rakannya.

Sejak kecil, anak muda ini dibesarkan di kawasan taman negarea Caingorms. Pengalamannya semasa kecil itulah yang mendidiknya untuk mencintai dan memelihara alam.

Ibunya, Ghillie, seorang penulis buku masakan yang sering membawa beliau mengembara ke segenap ceruk rantau.

Pengalaman itu membolehkan beliau bertinteraksi dengan pelbagai komuniti dan budaya yang terasing dari kemodenan.

Jurusan pengajian pengembaraan

Ketika ibunya mengkaji masakan tempatan, beliau menggunakan peluang itu untuk mempelajari budaya masyarakat setempat.

“Saya menghabiskan banyak masa dengan suku masyarakat yang bergantung hidup sepenuhnya pada alam, hinggakan cara hidup ini turut bersebati dengan diri saya,” katanya.

Basan menerima anugerah berprestij Scottish Youth Award for Excellence in Mountain Culture dari kerajaan negara itu atas kecekapan menggunakan kemahiran ikhtiar hidup di pergunungan.

Pelajar jurusan pengajian pengembaraan di sebuah kolej di Scotland ini hanya memiliki beberapa keperluan asas di khemahnya.

Untuk keselesaan beliau tetap menyediakan sebuah katil peninggalan datuknya, dua helai gebar dan kulit binatang yang diawet sendiri untuk dijadikan selimut.

“Pada waktu petang, saya mengawet kulit binatang, ikan dan mengukir kayu. Saya simpan pakaian dan buku dalam satu kotak besi milik ibu saya.

“Saya basuh pakaian di dalam sungai dan mengeringkannya dengan angin atau dengan haba api. Saya membuat tempat mandi dengan menggunakan air sungai,” kata Basan.

Setiap pagi, beliau bangkit dari tidur seawal 6 pagi dan terus menyediakan api, bersarapan, membersihkan diri dan berjalan selama 30 minit ke kelas.

“Ada 12 orang pelajar pelbagai usia dalam kelas kami. Kami baru sahaja selesai belajar ilmu mendaki gunung dan mencari arah di Red Cuilin.

“Kami akan memulakan kelas kayak air tawar tidak lama lagi,” kata Basan.

Zeki Basan dari Nevis Landscape Partnership di Vimeo.

 

Comments

comments