Tumpuan di MASITF 2016: Pakej halal, haji dan umrah

ACARA

Syarikat penerbangan lazimnya menawarkan tiket murah dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas pameran pelancongan Matta Fair.

Itu merupakan antara sebab utama Matta Selangor memilih tarikh 26 hingga 28 Ogos untuk mengadakan pameran pelancongan halal terbesar di Malaysia – Matta Selangor Islamic Travel Fair (MASITF 2016).

Tarikh berkenaan juga merupakan permulaan bagi tempoh cuti panjang, yang memberi peluang kepada ibu bapa untuk memilih pakej dan merancang percutian, kata pengerusi Matta Selangor, Akil Yusof.

Lokasi yang dipilih untuk pameran tersebut pada tahun ini ialah Encorp Strand Mall di Kota Damansara – salah satu kawasan yang mesra keluarga dan popular di kalangan golongan eksekutif, pasangan muda dan Lembah Kelang.

Menurut Akil, tujuan Matta Selangor adalah untuk menjadikan MASITF sebagai hab untuk ahli Matta dari kalangan pengusaha kecil dan sederhana mempamerkan produk pelancongan halal.

Jelasnya, para pengusaha berkenaan akan dapat menikmati kadar sewa reruai yang lebih rendah dan juga lebih berpeluang untuk mempamerkan produk mereka.

“Syarikat besar di Matta Fair biasanya akan ambil antara 20 hingga 40 reruai. Tetapi di MASITF, kita hadkan kepada tiga hingga empat reruai sahaja untuk setiap syarikat,” kata Akil.

Tambahnya, MASITF menawarkan 75 reruai standard dan 20 reruai premium, dengan kadar sewa serendah RM2,200 untuk syarikat berdaftar yang menganggotai Matta.

Namun itu tidak bermakna bahawa pameran tersebut hanya dikhaskan untuk anggota Matta sahaja. Matta Selangor kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan dan lembaga promosi pelancongan negara jiran, termasuk Bali, Indonesia dan Thailand.

Katanya lagi, Matta Selangor yakin bahawa produk halal di MASITF akan dapat menarik antara 20,000 sehingga 30,000 pengunjung.

Selain pakej halal ke luar negara, produk popular lain yang boleh diperolehi di pameran itu termasuk pakej korban dan pakej haji dan umrah untuk musim November dan Disember.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah naib presiden Matta Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan pengerusi penganjuran MASITF, Mokhdzar Abdullah.


Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dianggotai lebih 3,200 agensi pelancongan tempatan yang berdaftar.

Pameran Matta Fair akan berlangsung bermula 2 hingga 4 September.

Comments

comments