Tsunami hentam Aceh, masjid ini langgar hukum fizik

Oleh Zainuddin Omar

Ketika melawat Aceh baru-baru ini, saya berasa sukar menanggap betapa kuatnya tsunami yang melanda Aceh berdasarkan pandangan mata kasar semata-mata.

Sebagai seorang jurutera, saya terlatih untuk melihat sesuatu isu dengan pemikiran analitikal, namun apabila melihat Masjid Baiturrahman yang masih tersergam di sini, saya jadi terpegun.

Tanggal 26 Disember 2004, berlaku gempa bumi dengan kekuatan 9.1 skala Richter di dasar lautan. Susulan itu, gelombang tsunami dengan kelajuan 800 km/j memecut ke daratan.

Kelajuan ini kita boleh umpamakan seperti kelajuan jet pesawat penumpang. Apabila mendekati pesisir pantai yang cetek, kelajuan gelombang air ini berkurang kepada 100 km/j.

Kapal Janakuasa PLTD Apung seberat 2,600 tan diheret 5km ke daratan dan masih ada mayat di bawah kapal ini. © Zainuddin OmarApabila kelajuannya berkurangan, ombak tsunami tersebut meningkat kepada paras 18 meter, kira-kira setinggi pokok kelapa, kerana kekuatan tenaga gelombang ini masih tidak berubah.

Daya tersebut mengheret sebuah kapal janakuasa, PLTD Apung yang seberat 2,600 tan, sejauh 5 km ke daratan. Kita boleh bayangkan beratnya seperti 2,600 buah kereta yang bertindih.

Kekuatan terjahan arus tsunami itu seperti tekanan 20 bar (290psi) iaitu bersamaan kekuatan air yang keluar dari muncung hos bomba.

Untuk makluman kita, pancutan air dari muncung hos bomba dengan tekanan 5 hingga 10 bar sudah cukup untuk meranapkan dinding batu bata bila ditembak dari jarak 5 meter sahaja.

Masjid tidak ranap

Cuba bayangkan jika kita membawa kereta dengan kelajuan minimum 100km/j dan melanggar satu dinding. Bukan sekali, tetapi tiga kali dengan kelajuan yang sama. Apa akan terjadi?

Begitulah kita boleh ibaratkan kekuatan gelombang arus tsunami yang merempuh dan menerjah bangunan di Aceh sebanyak tiga kali.

Kubah konkrit yang hanyut bagai pelampung 2.5 km ke arah bukit. © Zainuddin OmarTerpegun saya melihat bagaimana satu kubah konkrit 80 tan (bayangkan berat 80 buah kereta bertindih) di Kampong Gurah, boleh hanyut sejauh 2.5km.

Ia menjadi seperti sebuah pelampung dengan tujuh orang duduk di dalamnya sebagai penumpang apabila ditujah oleh air deras.

Yang peliknya, gelombang tsunami tidak meranapkan banyak masjid di tepi pantai walaupun bangunan di kawasan ini menerima hentakan gelombang tsunami paling maksimum.

Walhal, masjid ini diperbuat daripada batu-bata sahaja.

Ramai yang sangsi kerana kata mereka, bangunan itu utuh kerana pembinaannya dari teknologi konkrit.

Teknologi binaan kuno

Baik. Teknologi konkrit hanya digunakan secara menyeluruh apabila Hoover dam dibina pada tahun 1936 di Amerika Syarikat.

masjid 1Masjid Baiturrahman Banda Aceh dibina pada tahun 1612 dan Masjid Baiturrahim Ulee Lheue dibina pada abad ke-17 dengan batu-bata menggunakan sistem load bearing wall – teknologi kuno dari orang Roman.

Masjid Rahmatullah pula dibina pada tahun 1990 dengan teknologi konkrit tetapi dindingnya dari batu bata.

Kalau kita melihat dengan pandangan mata kasar sahaja, mungkin kita merasa kurang yakin bahawa kuasa Allah menyelamatkan masjid-masjid ini.

Ramai yang menyaksikan betapa gelombang tsunami terbelah dua apabila berdepan dengan masjid-masjid tersebut.

Apakah hikmah dari tragedi tsunami ini? Aceh menjadi lebih aman, tiada lagi pembunuhan antara kumpulan pemisah GAM dan ABRI.

Aceh juga dianugerah sebagai wilayah autonomi semasa pentadbiran presiden Susilo Bambang Yudhuyono dengan perundangan Islam diiktiraf oleh pemerintah Republik Indonesia.

Benarlah firman Allah, setiap kejadian ada hikmahnya.

 


zainuddin omar profile pixZainuddin Omar seorang anggota BBM. Bekas VP1 Sime Darby Property ini gemar mengisi waktu persaraannya dengan mengembara.

Tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KEMBARA.MY.

Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Backpackers Buddies Malaysia

Backpackers Buddies Malaysia merupakan komuniti pengembara terbesar di negara ini. Kolum ini memuatkan travelog, berita, acara dan iklan komuniti dari para anggota.

Comments

comments