TripAdvisor kaut untung dari kekejaman pada binatang?

Laman kembara popular TripAdvisor menerima kecaman meluas ekoran dakwaan bahawa laman itu mengaut keuntungan dari jualan tiket pertunjukan kontroversi melibatkan kekejaman ke atas haiwan.

Kecaman itu timbul susulan pendedahan satu badan kebajikan haiwan di United Kingdom, World Animal Protection yang mendakwa TripAdvisor bertindak demikian melalui anak syarikatnya, Viator.

World Animal Protection mendakwa, TripAdvisor juga tidak mengambil kira isu kebajikan binatang dalam sistem penarafan pusat tarikan pelancong dalam laman webnya.

TripAdvisor bagaimanapun dengan mudah menolak dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa laman mereka tidak bertanggungjawab untuk memujuk pelancong supaya menjauhi tempat pertunjukan yang bertindak zalim ke atas haiwan.

Seramai lebih 250,000 orang dilaporkan menyokong petisyen World Animal Protection yang menggesa supaya TripAdvisor tidak lagi menjual tiket ke pusat pertunjukan haiwan tertentu.

Petisyen itu juga menggesa TripAdvisor mengubah algoritma penarafannya supaya pusat pertunjukan tertentu, yang didakwa bertindak kejam ke atas haiwan, tidak lagi muncul dalam indeks popular di laman webnya.

Selain indeks popular, TripAdvisor juga memberi anugerah dan sijil kecemerlangan kepada pusat pertunjukan tertentu, berdasarkan ulasan pelanggannya.

Mengulas bantahan tersebut, TripAdvisor menjelaskan bahawa tanggungjawab untuk memberi maklum balas ke atas pusat pertunjukan seperti itu dipikul oleh pengembara.

“(Walaupun sesuatu) perniagaan atau pertubuhan disenarai di laman kami, ia tidak mewakili sokongan kami,” kata jurucakap TripAdvisor, Desiree Fish kepada National Geographic.

Menurutnya, ulasan dari pengembara yang mendedahkan amalan buruk sesebuah pusat pertunjukan akan mendorong pengulas lain untuk mendedahkan amalan serupa.

Ulasan pengembara beri pengaruh

Dalam laporan sama, National Geographic memetik satu laporan kajian yang menganalisis ulasan TripAdvisor ke atas pandangan pelancong terhadap sesuatu tempat tarikan.

Kajian oleh World Animal Protection dan Oxford University’s Wildlife Conservation Research Unit (WildCRU) itu meliputi pandangan ke atas perkhidmatan menunggang gajah, menyelam dalam sangkar untuk melihat ikan jerung dan juga pusat pemuliharaan haiwan liar.

Pandangan tersebut seterusnya dibandingkan dengan pendapat daripada pakar hidupan liar.

Hasilnya, kajian itu mendapati bahawa pelancong tidak selalunya dapat menilai sama ada sesuatu pusat tarikan pelancong mengamalkan layanan buruk ke atas haiwan kerana perbuatan kejam tidak selalunya dapat dilihat dengan jelas.

“Sesetengah pusat hidupan liar yang membimbangkan… menerima ulasan yang sangat baik daripada pelancong,” kata Neil D’Cruze, salah seorang daripada penulis kajian tersebut.

Menurut National Geographic, ketua pengkaji World Animal Protection itu menyatakan demikian pada tahun lalu – ketika TripAdvisor memujuk badannya agar menyokong pusat hidupan luar tertentu.

Sistem sokongan yang diusahakan TripAdvisor itu serupa dengan satu program penarafan lestari alam kepada hotel, yang diusahakan laman pelancongan berkenaan.

Rundingan tersebut bagaimanapun tidak membuahkan apa-apa hasil.

TripAdvisor dilaporkan mengakui bahawa laman itu tidak mampu mengaudit amalan buruk oleh pengusaha pusat pertunjukan haiwan di seluruh dunia.

Comments

comments