Trek basah, tapi kaki sentiasa kering dengan but baharu Merrell

TEKNOLOGI | But kalis air Merrell Moab FST Mid Gore-Tex

Oleh MK Rahman

Saya mencuba but Merrell Moab FST semasa mendaki ke Gunung Yong Yap baru-baru ini. Pendaki yang pernah melalui trek ini pastinya maklum, ada 23 batang sungai yang perlu dilintasi sebelum sampai ke kem Sungai Yu Kecil.

Sangat tidak bijak jika meredah sungai dengan memakai but yang tidak kalis air. Untuk bahagian pertama dalam pendakian ini, saya mengenakan Merrell Blaze Sieve. Saya sudah menulis mengenai but ini awal tahun ini di komuniti HACAM.

Prestasinya boleh dikagumi, sama ada di laluan kering mahupun semasa meranduk sungai. Laluan seterusnya ke puncak masih lagi basah susulan hujan lebat pada malam sebelumnya.

Selain itu, kaki juga melalui kawasan berlumpur atau lebih tepat lagi tanah gambut yang sering kita temui di hutan berlumut. Sesetengahnya dalam sehingga buku lali.

Rupa: But ini nampak tahan lasak dengan kombinasi bahan jaring, fabrik dan kulit dengan lapisan lilin untuk ketahanan air.

Berat: Sangat ringan, hanya 852 g sepasang

Perlindungan: Tapaknya dari Gore-Tex, jadi kita boleh jangka bahawa kasut ini membolehkan aliran udara dan pada masa sama, kalis air. Ia menghalang air daripada masuk ke dalam kasut tetapi membolehkan kelembapan keluar – agar kaki kita sentiasa kering.

Tiada hujan yang turun semasa pendakian – baik bagi saya, tapi malang sekali kerana saya tidak dapat melihat prestasi kasut ini semasa hujan. Lumpur dan lopak air pula tidak menyerap masuk ke dalam but ini.

Keselesaan: Ia tidaklah empuk seperti Merrel Blaze Sieve, tetapi saya fikir masih sangat selesa dengan lapisan jaring di keseluruhan bahagian dalamnya.

Merrel dakwa bahagian tapak di bawah tumit dilengkapi ruang udara untuk menyerap hentakan dan memberi lebih kestabilan.

Lapisan dalam tapaknya daripada polimer EVA yang menggunakan teknologi Merrell M Select™ FIT.ECO. Bahagian shank but ini daripada nilon yang dibentuk daripada acuan.

But ini diperkemas dengan ikatan tradisional, dengan dua cangkuk di hujungnya untuk menyokong bahagian tumit, yang saya fikir harus menjadi kewajipan untuk semua but mendaki. Terdapat juga model yang lebar untuk pendaki berkaki lebar.

Cengkaman: But ini menggunakan tapak Vibram, jadi saya tidak perlu cerita panjang. Tapaknya mencengkam kuat pada jubin lantai dan mengeluarkan bunyi mendecit-decit ketika saya mencubanya di ruang pameran.

Merrel memberitahu saya, tapak ini menggunakan motif serigala. Saya tidak tergelincir langsung ketika naik dan turun di cerun basah Gunung Yong Yap.

Harga: RM599.00. Dalam ketegori ini, ia setanding dengan but yang mempunyai spesifikasi sama seperti Lafuma LD Kenadsa GTX atau Solomon Quest 4D II GTX.

Saya cukup berpuas hati dengan but ini. Ada orang yang tidak gemar membawa dua pasang kasut ketika mendaki, dan hanya menggunakan kasut yang sama untuk keadaan kering dan basah. Pendaki ini juga tidak akan menggunakan Gore-Tex atau but kalis air yang lain.

Namun, ketika pendakian Tahan 4 Tingkat, saya dapati paling baik adalah membawa dua pasang kasut untuk mengelakkan jangkitan kulat atau athlete’s foot semasa pendakian yang jauh.

Kasut yang digunakan semasa meranduk sungai boleh digunakan semasa di kem, jadi ia hanya berat sedikit sahaja berbanding sandal yang kita akan bawa.

Jika anda mencari sepasang but kalis air, saya cadangkan anda cuba model ini, tetapi tunggulah.

But yang digunakan untuk ulasan ini dibekalkan oleh Merrell. Di laman web Merrel, model Moab FST dinyatakan dengan lapisan M Select Dry, tetapi model yang digunakan untuk ulasan ini menggunakan Gore-Tex. Ia akan dipasarkan di Malaysia pada September.

Hiking And Camping Around Malaysia

Kolum ini dikelola oleh HACAM, salah satu komuniti Facebook yang menghimpun pendaki dan peminat kegiatan luar terbesar di Malaysia. HACAM mendukung prinsip pendaki bertanggungjawab yang menjaga kebersihan dan khazanah alam.

Comments

comments