Tiada lagi paparan harimau comel, manja di Tiger Temple

ALAM | Salhan K Ahmad

Kini barulah kita dapat melihat beberapa perkara yang mungkin dapat menerangkan realiti sebenar dalam industri pertunjukan haiwan.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa pusat pertunjukan haiwan tertentu di Thailand terlibat dengan kegiatan pemerdagangan hidupan liar haram.

Pada masa itu, ramai yang masih tidak menyedari bahawa kegiatan yang bernilai berbilion dolar ini boleh berselindung di sebalik paparan haiwan comel dan manja di pusat pertunjukan haiwan.

Kemudian, pada minggu lalu pihak berkuasa Thailand menggempur Wat Pa Luangta Maha Bua Yannasampanno di wilayah Kanchanaburi.

Kalangan pengunjung yang pernah mengunjungi wat digelar Tiger Temple itu meluahkan rasa terkejut di media sosial apabila melihat laporan mengenai operasi besar-besaran ke atas wat berkenaan.

Mereka tidak dapat mempercayai dakwaan bahawa berkenaan sanggup melakukan perkara seperti ini ke atas haiwan comel berkenaan.

Pengunjung ke Tiger Temple sebelum ini ditawarkan peluang untuk melihat cara hidup para sami di kalangan 137 ekor harimau jinak di wat terbabit.

Bayaran masuk adalah THB600 (kira-kira RM70). Jika ingin bergambar atau membantu para sami memberi makan kepada mamalia tersebut, pengunjung perlu bayar sebanyak THB750 (RM86) lagi.

Persona yang dipamerkan ini berjaya menarik seramai kira-kira 250,000 orang, termasuk pasangan artis Amerika Syarikat, Jay Z dan Beyoncé untuk mengunjungi Tiger Temple.

Imej comel dan manja hancur lebur

Pelancong ini pula seterusnya berkongsi gambar mereka di laman sosial yang menyebabkan persona tersebut semakin merebak.

Bagaimanapun, imej comel dan manja yang dipromosi seperti itu hancur lebur apabila wat tersebut digempur pihak berkuasa Thailand sepanjang minggu lalu.

Pasukan khas itu menemui hampir 100 bangkai anak harimau terawet serta pelbagai organ termasuk belulang harimau di kawasan wat.

Bangkai tersebut ditemui tersimpan dalam peti sejuk beku dan di dalam balang yang dipenuhi cecair pengawet – disyaki untuk dijual ke pasaran gelap.

Pasukan khas melibatkan anggota polis, tentera, doktor haiwan dan jabatan perlindungan hidupan liar Thailand juga berjaya mengeluarkan kesemua harimau 137 ekor yang masih hidup dari pusat berkenaan.

Seramai lima orang kakitangan termasuk sami wat tersebut didakwa pada hari Jumaat lalu dengan tuduhan memiliki organ haiwan terancam tanpa kebenaran, dan kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Turut ditemui adalah dua bidang belulang, taring serta kira-kira 900 unit Ta Krud – aksesori yang diperbuat daripada bahagian badan harimau dipanggil Ta Krud.

Kononnya, orang yang memakai tangkal Ta Krud ini akan menjadi kebal.

‘Awet sebagai bukti tidak perdagang haiwan’

Mengulas mengenai penemuan organ dan bangkai anak harimau itu pula, pihak pengurusan wat tersebut menjelaskan bahawa bangkai berkenaan merupakan anak harimau yang mati semasa kelahiran.

Badan berkenaan turut mendakwa, bangkai berkenaan diawet sebagai bukti bahawa mereka tidak memperdagangkan haiwan tersebut.

“Kami merakam dokumentasi kesemua kematian sejak tahun 2010 dan memiliki semua bukti foto,” kata badan pengurusan wat itu lagi dalam kenyataan di Facebook.

Pengurusan wat berkenaan menyatakan rasa terkejut dengan penemuan belulang, taring dan aksesori berkenaan dan menafikan bertanggungjawab ke atas penyimpanan organ berkenaan.

“Kami berharap pihak berkuasa akan membawa pesalah tersebut ke muka pengadilan,” kenyataan rasmi badan pengurusan wat itu dipetik.

Menurut satu NGO kebajikan haiwan yang memerhati operasi di wat tersebut, pihak berkuasa turut menemui bangkai dua jenis harimau – seekor Asiatic golden cat dan seekor harimau bintang.

Selain itu, pasukan berkenaan juga menemui seekor anak beruang yang masih hidup.

Jabatan taman negara dan hidupan liar Thailand memindahkan semua haiwan yang masih hidup ke pusat jagaan mereka di Ratchaburi.

 


Salhan K Ahmad adalah pengendali KEMBARA.MY.

Anda ingin menambah maklumat ke dalam laporan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Baca kandungan berkaitan

 

Pihak berkuasa gempur Tiger Temple dalam operasi besar-besaran

Operasi bersepadu dijalankan minggu lalu dengan kekuatan kira-kira 1,000 orang anggota pihak berkuasa Thailand.

Harimau pupus, Cambodia mahu import baka Malaysia

Kepupusan itu berpunca dari kelemahan penguatkuasaan kerajaan yang menyebabkan peningkatan pemburuan dan kemusnahan habitat.

Apa salahnya naik gajah? Bergambar dengan harimau?

Apalah sangat beban untuk memikul beberapa orang manusia di atas belakang seekor gajah.

TripAdvisor kaut untung dari kekejaman pada haiwan?

Anak syarikatnya, Viator jual tiket pertunjukan melibatkan pusat jagaan kontroversi yang didakwa bertindak zalim ke atas haiwan.

Comments

comments