Tiada cara lain elak saki-baki militan di Myanmar

Awal Jun, ketika saya pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini, Myanmar sedang berpakat dengan Singapura supaya warga dari negara tersebut boleh masuk ke sini tanpa visa.

Myanmar semakin terbuka. Negara yang paling pesat membangun di Asia ini amat maklum dengan kepentingan pelancongan pada ekonominya.

Tapi untuk warga Malaysia, entah bila agaknya baru kita boleh nikmati kemudahan sebegini. Saya masih perlu membayar RM143 untuk visa 30 hari.

Atas dasar keselamatan, saya juga diwajibkan guna ejen pelancongan tempatan kerana saya melalui jalan darat dengan bermotosikal.

Bila ditanya sebabnya, jawapan yang saya perolehi agak menggerunkan.

“Saki baki tentera masih ada lagi,” kata pemandu arah yang mengikuti saya sepanjang pengembaraan di negara itu.

Bulan lalu, konflik bersenjata meletus di Hsipaw Township di Shan State. Kawasan ini menjadi pertempuran di antara Burma Army dan kumpulan pemisah Shan State Army-North.

Lebih 1,000 orang etnik Shan tersesar dari kawasan perkampungan di kawasan sempadan Hsipaw Township dan Lashio Township.

Saya tidak melalui Hsipaw namun tetap berjaga-jaga. Di segenap pelusuk daerah, pasukan keselamatan mendirikan sekatan untuk pemeriksaan.

Bertahun-tahun tanpa keamanan

Myanmar terhumban ke kancah perang saudara sejak sekian lama. Ia diperintah oleh junta tentera sejak rampasan kuasa 1962 dan hanya menikmati demokrasi selepas satu pilihan raya umum pada 2010.

Namun itu tidak membuatkan negara tersebut terus mengecap keamanan. Sepanjang 2012, beberapa konflik bersenjata berlaku di beberapa negeri.

Myanmar1 localDi Kachin State, Kachin Independence Army bergeser dengan tentera kerajaan. Di Rakhine State pula, perang saudara meletus di antara minoriti Muslim Rohingya dengan kumpulan kerajaan dan bukan kerajaan.

Tidak terkecuali, konflik di antara suku minoriti Shan, Lahu dan Karen.

Memanglah Myanmar menganggotai konferederasi ASEAN dan sudah membuka pintu untuk pelancong, namun negara itu harus bertanggungjawab ke atas keselamatan pengunjung.

Sepanjang perjalanan saya di sini, pemandu arah dari agensi pelancongan Osuga Myanmar Travel & Tours menjaga dan mengikut saya dengan van.

Kami melalui Mae Sot – Kyaikto – Toungoo – Bago – Bagan – Gangnaw dan seterusnya merentasi sempadan ke India melalui Tamu.

myanmar4 baganLaluan yang dipilih itu memberi peluang kepada saya untuk melawat pelbagai tempat tarikan, terutama kompleks kota tua Bagan yang merupakan ibu kota kerajaan Pagan (nama asal Bagan).

Di Myanmar, makanan halal juga agak sukar ditemui. Keadaan ini berbeza dengan Mae Sot, Thailand – salah satu daripada tiga pintu masuk utama ke Myanmar.

Di sinilah peluang untuk menikmati makanan halal di restoran. Saya melihat, Mae Sot sudah banyak berubah berbanding ketika saya mula-mula sampai di sini, kira-kira 15 tahun lalu.

Pada waktu itu, jika tengok keadaan hotelnya pun kita berasa tak lalu.

Petrol di Myanmar hanya gred RON 92 tetapi harganya lebih mahal – MMK800 (RM2.7) seliter.

Menurut pemandu saya, harga petrol bertambah mahal di kawasan utara Myanmar kerana bahan api ini diimport dari Thailand. Harga bahan bakar ini sangat mencengkam kehidupan warganya di sini.

Pemandu arah bunyikan siren

Untuk merentasi Myanmar dengan motosikal, perjalanan selama lima hingga enam hari sudah memadai, kecuali jika anda mahu menelusuri setiap ceruk negara ini.

Terdahulu, saya mula menunggang ke Myanmar melalui Bangkok. Jentera KLX250 dan segala peralatan dan keperluan saya dimuatkan dalam perut keretapi dari Hat Yai ke Bangkok.

Ketika masuk ke Myanmar, pemanduan di lorong kanan bermula – sama seperti di Laos dan Cambodia.

Untuk 40 kilometer pertama ke Kyaikto, keadaan jalannya baik dengan turapan tar baharu. Seterusnya, kami menempuh jalan kecil dan berliku dengan pelbagai sekatan.

myanmar1 penjualKami juga melalui jalan bertol, tetapi semasa perjalanan pulang, palang tol dibuka tanpa bayaran. Kenderaan ejen kami juga membunyikan siren. Aneh.

Dari Kyaikto, pada 1 Ramadan saya menuju ke Taungoo – meliputi 280km melalui kawasan bersejarah yang mengabadi tinggalan dinasti tua berusia ratusan tahun.

Hari mendung membataskan saya untuk mengambil gambar sepanjang perjalanan. Sesekali, angin lembap menghembus, melembapkan lagi pakaian saya yang tidak berjaket.

Jaket dan pakaian basah sudah disimpan di dalam kenderaan pemandu arah

Banyak aktiviti yang diatur oleh mereka membataskan pergerakan saya. Antara lainnya kami singgah di daerah Bago yang popular dengan terusan dan ikan keli.

Lurus seperti pembaris

Keesokan harinya, kami menempuh perjalanan agak jauh, lebih 400 kilometer ke Bagan. Destinasi pertama adalah Napiytaw – pusat pentadbiran baru kerajaan Myanmar yang beralih dari Yangon pada Nov 2005.

myanmar10 katakLima kilometer sebelum Napiytaw, kelihatan kenderaan pemandu arah saya berhenti di sekatan jalan raya. Saya memajukan motosikal melepasi mereka dan saya turut ditahan.

Setelah pemeriksaan dibuat, barulah kami dilepaskan oleh pasukan imigresen dan kastam

Sekiranya meneruskan perjalanan ke Bagan mengikut jalan biasa, kami mungkin akan tiba ketika hari gelap. Pemandu arah cadangkan agar kami mengikut lebuh raya Yangon – Mandalay.

Lebuh raya sepanjang 587 kilometer yang dibina pada tahun 2010 mempercepatkan perjalanan kepada tujuh jam sahaja. Jika mengikut jalan lama, kita perlu menempuh perjalanan 13 jam.

Lebuh raya yang lurus seperti pembaris ini tidak menepati piawai antarabangsa tetapi memadai untuk memudahkan penduduk tempatan berulang-alik.

myanmar7 baganSemua jenis kenderaan boleh melalui jalan ini dan pengguna motosikal tidak perlu bayar tol.

Lebuh raya ini digabungkan dengan laluan AH1 – yang akan bersambung untuk membentuk lebuh raya rentas Thailand-India.

Kawasan kiri dan kanan jalannya dipenuhi tanaman anggur, dan juga gerai jualan. Harganya sekotak sekitar MMK6,000 (RM20).

Seterusnya kami masuk semula ke jalan biasa untuk melawati Gunung Popa, gunung berapi lama yang menjadi kawasan taman negara.

Kawasan ini kering dan jarang ditimpa hujan. Tetapi ketika kami lalu, hujan turun dengan lebat walau tidak lama.

Jalan curam, lumpur tebal, selekoh tajam

Tiga hari di Bagan memberi masa yang cukup untuk saya menjelajah kompeks bersejarah ini.

myanmar5 baganDi waktu kegemilangannya sekitar abad kesembilan hingga ke-13, terdapat lebih 10,000 pagoda dan biara dibina di sini.

Kini hanya tinggal sekitar 2,200 buah struktur yang masih berdiri selepas diserang kerajaan Mongol dan seterusnya akibat gempa bumi pada tahun 1975.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke sini, kecuali untuk memasuki menara utama.

Kami seterusnya bertolak ke Gangnaw, satu pekan kecil di atas banjaran gunung.

myanmar6 baganHujan yang turun sejak Subuh tidak henti-henti. Kami mengikut jalan lama ke Gangnaw, melalui jambatan terpanjang melintasi sungai Irrawaddy.

Seterusnya, kami memasuki jalan tidak berturap. Jalan sebegini memerlukan perhatian yang lebih, lumpurnya tebal.

Saya turut membantu orang kampung yang tergelincir jatuh dari motosikal. Di Myotin, kami berhenti rehat.

Hujan masih lagi turun renyai-renyai dan kadang-kadang lebat di sesetengah tempat. Permukaan jalan curam, berselekoh tajam dan licin begitu menyukarkan, apatah lagi sewaktu turun.

Kami menembusi awan dan sampai di gentingnya di Lingadaw dalam keadaan hujan. Jam 4 petang barulah tiba di Gangnaw, kawasan majoriti penganut Buddha.

Keseronokan tidak lama

Hari ketujuh adalah hari yang terakhir saya di Myanmar. Perjalanan hari ini juga menempuh jarak jauh mengikut jalan yang sempit dan dipenuhi lori.

myanmar3 baganKami bercadang untuk bertolak awal pagi namun hujan pada pagi itu sungguh lebat. Pemandu arah mencadangkan agar saya bermalam di Tamu sebelum menyeberang ke Imphal di India.

Katanya, jalan di ke Imphal begitu gelap dan membahayakan pada waktu malam. Saya mengikut saranan mereka.

Selepas sejam perjalanan, barulah hujan berhenti. Jalan yang basah kemudiannya mula kering, barulah tunggangan itu kembali terasa menyeronokkan.

Pemandangannya juga cantik, tidak teruk seperti semalam.

Namun keseronokan itu tidak lama. Tiba di satu selekoh semasa menuruni bukit, saya melihat banyak kenderaan terkandas.

Rupa-rupanya air deras melintasi jalan. Kami terpaksa menunggu pengguna motosikal menyorong kenderaan mereka melintasi sungai.

Saya memacu jentera KLX250 melepasi sungai. Tiada masalah, tetapi air tersebut sememangnya terasa begitu deras.

Tidak lama kemudian, kami tiba di pekan Tamu dalam keadaan cuaca baik. Jalan yang menghubung Tamu dan Moreh di seberang sana dinamakan Myanmar – India Friendship Road.

Jalan sejauh 140 kilometer yang ditaja oleh kerajaan India ini memudahkan rakyat Myanmar dan India keluar masuk.

Namun hari ini berakhir dengan kurang baik. Lima kilometer sebelum sampai di pekan Tamu, saya dapati hos brek hadapan bocor kerana disagat oleh tayar.

Minyak brek keluar mencurah-curah.


profile pix sham bedoqstarSham Bedoqstar atau nama sebenarnya Hishamuddin Isa, 45, kini berada di India.

Ikuti catatan harian anak kelahiran Kuala Lumpur ini di laman Facebook rasmi Hijrah Tanpa Sempadan.

Tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KEMBARA.MY.

Comments

comments