Tanpa bantuan konsular Malaysia, segalanya mungkin sudah terlambat

Pada dinihari Sabtu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi sedang berehat. Ia adalah permulaan bagi hujung minggu yang panjang kerana cuti Hari Easter jatuh pada hari Isnin.

Beliau dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Pegawainya memaklumkan, seorang doktor warga Malaysia perlu pulang dengan segera ke tanah air untuk menziarah saudara yang tenat di hospital.

Isunya, pasport doktor Malaysia itu berada di Home Office – kementerian dalam negeri United Kingdom – untuk proses permohonan permit kerja.

Doktor berkenaan hanya menyedari perkara itu apabila berada di kaunter tiket di lapangan terbang Heathrow. Beliau tidak akan dapat menempah tiket dan menaiki penerbangan tanpa dokumen perjalanan sah.

high commission of Malaysia datuk ahmad rasidiDr Najmiah Ahmad berhasrat untuk pulang dan berada di sisi adiknya yang pada masa itu sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi akibat pendarahan serius di bahagian otak.

Beliau hanya akan dapat memperolehi semula pasportnya pada hari Selasa, 29 Mei apabila pejabat Home Office beroperasi semula.

Pada waktu itu, segalanya mungkin sudah terlambat kerana adiknya hanya mampu bertahan dengan sokongan mesin seratus peratus, dan keadaannya semakin tenat.

Najmiah terpinga-pinga apabila menerima panggilan dari Ahmad Rasidi (dalam gambar) pada kira-kira jam 3 pagi.

Pesuruhjaya tinggi Malaysia itu memberitahunya supaya datang ke pejabatnya di Malaysia di Belgrave Square pada jam 9 pagi.

Ahmad Rasidi menambah, beliau sendiri akan berada di pejabat persuruhjaya tinggi untuk menyelia urusan dokumen tersebut.

“Cuma bawa gambar dan kad pengenalan,” pesannya kepada Najmiah. Beliau juga mengerahkan para pegawainya yang sedang bercuti pada masa itu untuk kembali bertugas.

Dokumen Perjalanan Kecemasan (EC) itu siap dalam tempoh beberapa minit sahaja dan diserahkan kepada Najmiah.

Ahmad Rasidi juga dengan bermurah hati membayar fi untuk dokumen tersebut – sebanyak GBP 10 – memandangkan Najmiah terlupa untuk membawa wang dalam keadaan tergesa-gesa.

Dengan dokumen tersebut, Najmiah seterusnya berjaya menempah tiket dan menaiki penerbangan terawal untuk berada di sisi adiknya di sebuah hospital di Petaling Jaya.*


Semasa kecemasan, hubungi bahagian konsular

Telefon: +603- 8000 8000
E-mel: [email protected] | [email protected]

Alamat:
Kementerian Luar Negeri
Wisma Putra, No 1, Jalan Wisma Putra
Presint 2, 6202 Putrajaya

Dokumen Perjalanan Kecemasan (EC) dikeluarkan kepada warga Malaysia yang kehilangan pasport, atau memegang pasport yang tamat tempoh atau tempoh sah kurang dari enam bulan.

Dokumen ini membolehkan warga Malaysia membuat perjalanan sehala untuk kembali ke tanah air. EC diterima di semua negara kecuali dalam senarai berikut:

Brunei, Kanada, Chile, Perancis, Jerman, Holland, Iran, Iraq, Itali, Jepun, Jordan, Kuwait, Norway, Oman, Papua New Guinea, Senegal, Sudan, Switzerland, Turki, Emiriah Arab Bersatu.

Lihat alamat perhubungan 105 misi Malaysia di 83 buah negara.

*Adik kepada doktor tersebut, seorang kakitangan swasta kini semakin pulih selepas menjalani dua prosedur untuk merawat ruptured intracranial aneurysm dan severe subarachnoid haemorrhage.

Comments

comments