Tak sanggup tunggu Tabung Haji, Wazi cari geng naik kapcai ke Mekah

Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid memulakan misi untuk menghimpunkan penunggang tegar yang sanggup mengikuti beliau memacu motosikal ke tanah suci.

waziSyaratnya, motosikal yang akan digunakan itu hendaklah dari jenis cub milik penunggang itu sendiri, tegas Wazi dalam pengumuman di Facebook hari ini.

Wazi berkata, beliau bertindak demikian kerana tidak yakin akan dapat menunaikan fardu haji melalui Tabung Haji ketika hayatnya masih dikandung badan.

“Kalau hendak tunggu perjalanan Tabung Haji mungkin lagi 30 tahun. Entah hidup (lagi) atau sudah padam pada masa itu,” katanya.

Dalam tulisannya di Facebook, Wazi berkata beliau hanya membuka peluang kepada lima orang penunggang lelaki untuk menimba pengalaman bersamanya dalam perjalanan itu.

Beliau juga menetapkan syarat bahawa penunggang tersebut mestilah berani, berjiwa kental dan tidak banyak kerenah.

Calon jemaah juga perlu menanggung wang perbelanjaan dan menyediakan dokumen perjalanan sendiri, kata Wazi.

Beliau menjangka, perjalanan tersebut akan dapat dimulakan pada awal Ogos atau pertengahan September bagi musim haji tahun ini.

Wazi berkata, motosikal yang digunakan oleh para jemaah berkenaan seterusnya akan ditinggalkan di Jeddah atau Madinah untuk kegunaan para pelajar.


Maklumat lanjut di laman Facebook Wazi Abdul Hamid.

Comments

comments