Tak sanggup daki siang hari? Ini ganjaran hiking malam

Hiking pada waktu malam sering dikaitkan dengan bahaya, ketakutan dan seram, namun realitinya berbeza.

Saya gembar hiking pada waktu malam kerana ia merupakan antara waktu yang menjanjikan perjalanan paling indah. Ini antara sebabnya:

© Afifi Azizan
1. Tempoh perjalanan sama. Jika dibandingkan, tempoh perjalanan yang akan ditempuh pada waktu malam tetap sama seperti hiking di waktu siang. Pada waktu malam, cuaca lebih sejuk, maka kita boleh kurangkan persinggahan untuk berhenti rehat. Berat beg juga dapat dikurangkan kerana kita tidak perlu bawa banyak air.

 

© Razinah Sharif
2. Kerjasama kumpulan.
Pada waktu malam, pergerakan lebih terbatas kerana penglihatan terhad. Kita perlu bergerak dan bekerjasama dalam satu kumpulan untuk memilih laluan dan mengelak halangan. Risiko untuk terjatuh dan tercedera juga lebih tinggi, yang memerlukan kita sentiasa berada dalam kumpulan.

 

© Amir Halim
3. Warga hutan yang memukau pandangan.
Jika rajin menyuluh, kita akan dapat lihat pelbagai jenis binatang, serangga serta amfibia aneh. Pelbagai jenis batu, kulat dan tumbuhan mengeluarkan cahaya yang cantik pada waktu malam. Keadaan ini sukar dilihat pada waktu siang hari.

 

© Madness Adventure Malaysia
4. Hiburan malam percuma. Di sepanjang perjalanan, pelbagai bunyi dapat dinikmati seperti bunyi cengkerik, katak serta pelbagai serangga dan haiwan yang hanya aktif pada waktu malam. Jika terdengar bunyi aneh, polisi terbaik adalah dengan mengambil sikap berdiam diri.

 

© Aizul Manan
5. Peluang kenal sikap ahli kumpulan.
Pada waktu ini, sikap setiap individu akan lebih terserlah. Kita akan dapat kenal sikap orang yang budiman, yang manja atau yang mementingkan diri sendiri. Individu yang nampak berani, lasak dan agresif juga boleh berubah pada waktu malam.

 

© Rinjani Climber
6. Tiada kekangan masa.
Kita tidak perlu lagi terkejar-kejar untuk tiba sebelum gelap kerana hari sememangnya hari sudah malam. Kita tidak menghiraukan waktu yang berlalu kerana asyik menelusuri denai. Kita tidak lagi terfikir, bilakah akan sampai? Tahu-tahu saja, kita akan sampai tanpa disedari.

 

© Rinjani Climber
7. Fajar siddiq yang indah.
Ganjaran ini hanya akan dapat dinikmati jika kita bermalam di puncak atau tiba pada awal pagi. Fajar ini muncul seketika sebelum masuk waktu solat Subuh sebelum kita dapat menatap pemandangan matahari terbit yang cantik lagi mempesonakan.

 


cekelat angin profile pixCekelat Angin adalah anggota HACAM. Tulisannya menghimpun panduan, pandangan dan petua berhubung kegiatan mendaki gunung dan perkhemahan.

Beliau berpengalaman merintis denai di laluan pendakian riadah di seluruh Malaysia sejak tahun 1970-an.

 
 
 
 

Comments

comments