Tak perlu superbike, Anita kembara seluruh dunia dengan Yamaha FZ150i

Motosikal kembara seperti BMW 1200 GS Adventure adalah idaman kaki kembara yang berhajat untuk mengelilingi dunia dengan jentera beroda dua.

Ramai yang pastinya ingin menempuh laluan berliku dengan gaya pelakon Ewan McGregor dan rakannya, Charley Boorman dengan menggunakan jentera ini.

Lain pula bagi srikandi kita, Anita Yusof yang berjaya meliputi lebih 50 negara dengan hanya menggunakan jentera empat lejang berkuasa kecil Yamaha FZ150i.

Jentera buatan Malaysia yang dinaiki Anita hanya menghasilkan 16.5 kuasa kuda, tidak seperti BMW McGregor dan Boorman yang menghasilkan 110 kuasa kuda pada 7,750 rpm.

Ibu kepada dua orang anak ini mengembara secara solo dan tidak membawa gerombolan pembantu, petugas medik dan keselamatan seperti McGregor dan Boorman.

Walau dengan motosikal lebih murah dan kuasa jentera lebih kecil, kekayaan pengalaman yang ditimba oleh Anita dalam kembara Global Dream Ride ini tidak ternilai dengan wang ringgit mahupun kapasiti enjin.

Beliau menempuh pelbagai cabaran, termasuk suhu ekstrem sehingga 52 darjah Celcius, ribut pasir, angin kuat, runtuhan salji dan jalan runtuh.

Di sebalik segala cabaran tersebut, beliau tersentuh dengan sikap manusiawi dari pelbagai masyarakat yang ditemui di sepanjang perjalanannya.

Salah satunya, ketika beliau singgah di Merke, Kazakhstan untuk memeriksa peta. Tidak lama kemudian, beliau dikerumuni warga tempatan yang mahu menjamu beliau makan tengah hari.

“Saya menolak secara baik kerana saya masih perlu meliputi jarak yang jauh. Dengan tiba-tiba, mereka mula mengumpul wang sesama mereka dan menyerahkannya kepada saya,” kata Anita.

Dalam wawancara dengan laman globalwomenwhoride.com itu, Anita menjelaskan, penduduk kampung tersebut mahu beliau membeli makanan dan minuman dengan wang tersebut kerana beliau tidak dapat menyertai mereka.

“Saya terdiam. Mereka sangat murah hati pada pengembara solo seperti saya. Saya akan tersenyum setiap kali saya terkenang pada peristiwa itu,” kata Anita.

Anita selesa dengan kemampuan jentera buatan Malaysia itu yang membolehkan beliau menjayakan misi Global Dream Ride setakat ini.


Sumbangan kepada Anita boleh disalurkan melalui laman Go Fund Me.

Comments

comments