Tak perlu bayar bil hospital di Pakistan, kami bagai tak percaya

Oleh Ahmad Mohd Isa

Saya tak pasti dari mana hendak mulakan cerita. Boleh dikatakan setiap hari manusia di sini membuat kami menangis. Aku yang jantan inipun bergenang juga air mata.

Semenjak Adilah dimasukkan ke hospital sehingga ke hari ini, tidak putus-putus bantuan Allah sampai. Kami bersyukur kerana dimasukkan ke hospital.

Hikmahnya jelas. Allah menyuruh kami berehat sebentar. Jika kami terus sihat, entah pelusuk mana lagi kami terjah.

Saya sebagai ketua keluarga memang gementar untuk tengok bil hospital. Geram juga, sejak dari Adilah masuk hospital saya tunggu bil deposit, tak juga dapat. Saya hendak buat persediaan, manalah tahu jika tidak mencukupi, mungkin saya boleh ambil upah basuh pinggan.

Sepanjang dua hari di hospital, kami dilayan seperti raja. Saya pun dapat makan setiap kali waktu Adilah makan, lagilah saya jadi gementar.

Kami juga boleh pesan makanan dan mereka akan bertanya, “Apa yang anda mahu untuk makan malam?” sewaktu hantar makan tengah hari.

Kami ingin pesan macam-macam. Tapi bila fikirkan poket, saya hanya pesan apa yang berbaloi sahaja untuk orang sakit dan untuk saya sendiri.

Pada hari terakhir, saya menggigil ketika meminta bil hospital. Saya berbual dengan pengawal keselamatan di sini Encik Abbasi. Beliau menjaga kami selama kami di sini.

“Harapnya, saya ada wang darurat yang cukup untuk membayar bil hospital.”

“Berapa banyak yang kamu ada?”

“Tak banyak, cuma $***”

Kami lihat, jururawat dan pihak hospital seolah-olah tidak membenarkan kami keluar kerana pada waktu itu negara Pakistan bercuti tiga hari untuk sambutan 10 Muharram.

Mereka mahu kami berada di hospital sehingga habis perayaan tersebut. Saya berkeras untuk keluar kerana tidak tahu berapa banyak lagi yang saya perlu bayar.

Bila selesai selenggara basikal, kami pergi ke kaunter. Pada waktu itu barulah saya dapat tahu kedudukan mengenai bayaran bil hospital.

Saya berharap, wang kecemasan dan dana tambahan yang dikeluarkan di bandar tadi cukup untuk bayar bil hospital. Kata orang, hospital kenakan bayaran dua kali ganda lebih mahal ke atas warga asing. Lagilah saya gementar!

“Bil apa? Anda tidak ada bil, anda tidak perlu bayar,” kata jururawat itu sambil melontarkan senyuman paling manis yang pernah saya lihat.

“Apa? Tak perlu bayar satu sen pun? Jadi, siapa yang bayarkan untuk kami?”

“Kerajaan Pakistan bayarkan sebab kami tetamu kami. Tolonglah berdoa di hadapan Kaabah untuk Pakistan.”

Saya hilang kata-kata. Saya hanya mampu berterima kasih sambil peluk jururawat lelaki.

Sungguh. Saya tahan air mata. Saya ingin melompat-lompat tapi malu. Saya tengok Adilah sudah hampir mencurahkan air mata. Saya tenteramkan Adilah.

Kadang-kadang kita banyak terharu dengan layanan dan kebaikan orang yang tidak kita kenali dan tidak berputus-putus ucapkan terima kasih.

Tapi pernahkan kita terharu dan berterima kasih kepada ibubapa, adik beradik, sahabat dan orang yang paling dekat dengan kita?

Saya sangat berterima kasih pada ibu bapa saya dan juga ibu bapa Adilah. Pengorbanan mereka kami tidak boleh balas dengan apa pun di dunia ini.


Bahagian seterusnya akan menyusul. Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected])

Comments

comments