Sungai di New Zealand ini nikmati hak sama seperti seorang manusia

Sejak sekian lama, Sungai Whanganui di New Zealand dianggap sebagai kawasan suci bagi suku Maori.

Kini sungai yang dikenali dengan mama Whanganui Iwi oleh warga tempatan itu kini semakin dimuliakan apabila ia menikmati taraf hak asasi yang sama dengan hak seorang manusia.

Mungkin aneh bila kita mendengar satu sumber alam diberikan hak perundangan yang sama seperti seorang manusia, tetapi realitinya tidaklah begitu ganjil.

Dengan pengiktirafan tersebut, sungai berkenaan kini memiliki identiti sendiri dari sudut perundangan, dengan hak, tanggungjawab dan liabiliti yang sama seperti seorang warga yang sah taraf.

Dengan kata lain, sekiranya anda mudaratkan sungai tersebut, anda akan terima hukuman sama seperti hukuman untuk kesalahan memudaratkan anggota suku kaum Maori.

Ia dikuatkuasa melalui satu rang undang-undang, Te Awa Tupua, yang diluluskan kerajaan New Zealand pada minggu ini, lapor media tempatan.

Mengikut undang-undang ini, sungai sepanjang 180 kilometer di pulau utara New Zealand tersebut kini dianggap sebagai satu lanskap yang hidup.

Sungai tersebut diwakili oleh dua orang wakil – satu wakil kerajaan dan satu wakil Whanganui Iwi – yang akan bertindak untuk menjaga kepentingannya sebaik mungkin.

Rang undang-undang berkenaan turut menggariskan permohonan maaf kerajaan kerana gagal menjalankan lebih banyak lagi usaha untuk memelihara sungai tersebut daripada kegiatan ekonomi yang memusnahkan ekologi.

Kerajaan New Zealand juga memohon maaf kerana gagal mengiktiraf hubungan masyarakat pribumi dengan Whanganui Iwi, yang menuntut hak tersebut sejak tahun 1870-an.

Masyarakat pribumi berkenaan menyambut pengiktirafan tersebut dengan dada lapang.

“Dari sudut pandangan Whanganui, kesejahteraan sungai ini berkait langsung dengan kesejahteraan warganya,” kata MP Orang Asal, Adtian Rurawher seperti dipetik dalam laporan Radio New Zealand.

 

Comments

comments