Silicon Valley, lembah teknologi tinggi yang rai gagalis

Oleh Eric Weiner

Silicon Valley di San Francisco dianggap sebagai ikon teknologi tinggi yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran serta menarik ramai golongan inovatif dan yang mudah bosan dengan perkara rutin.

Namun ada plot yang tidak disangka dalam jalan cerita ini: Silicon Valley boleh menerima kegagalan, malah meraikannya.

Lembah di selatan San Francisco ini dahulunya menempatkan dusun buah-buahan. Kini, ia menyanyikan lagu kejayaan dan juga gurindam malapetaka serta kekecewaan yang meremukkan hati.

Budaya kegagalan – ada yang menyifatkannya sebagai satu ketaksuban – meresap ke seluruh pejabat dengan pelan ruang terbuka dan ke setiap kereta Tesla baharu di Silicon Valley. Anda tidak dianggap sebagai satu kejayaan bona fide di Silicon Valley melainkan jika anda pernah gagal – secara idealnya, beberapa kali dan secara besar-besaran.

Malah, ada persidangan Failcon dianjurkan saban tahun, di mana pesertanya meraikan kegagalan mereka – dan barangkali mendapat teladan daripadanya. Nampaknya, kegagalan mudah berjangkit; kini terdapat persidangan Failcon di Tel Aviv, Bangalore, Barcelona dan negara lain.

computer history museum 2

Stanford University, yang pernah dihadiri oleh Dave Packard dan Bill Hewlett terletak di Silicon Valley. Ya, kegagalan adalah enjin yang memacu Silicon Valley; ia adalah bahagian yang paling penting dalam ekologi kreatif di wilayah ini – tapi bukan atas sebab yang sering kita perkatakan.

Ketaksuban Silicon Valley pada kegagalan boleh dijejaki ke permulaannya, serta jalinan geografinya. Bukan satu kebetulan bila hab teknologi yang terulung di dunia bertunas di wilayah yang jauh di barat dan bukannya di bandar yang established di pantai timur seperti New York dan Boston.

California sebelum ini – dan sehingga tahap tertentu masih lagi – menjadi destinasi untuk melarikan diri, tempat perlindungan untuk yang gagal bercinta, usahawan bankrap, jiwa-jiwa yang sesat.

Seorang perintis teknologi tinggi di wilayah ini, William Forrester yang menubuhkan Stratus Computer menyebut begini: “Jika kau gagal di Silicon Valley, keluargamu tidak akan tahu dan jiranmu tidak akan ambil peduli”.

Setidak-tidaknya, sebahagian dari penghuni Silicon Valley merupakan anak yang dilahirkan dari budaya counterculture 1960-an, satu era di mana kegagalan, atau setidak-tidaknya keberlawanan, merupakan satu cara hidup.

Hari ini, seluruh industri perusahaan modal terbina di sekitar kegagalan. Pembiaya ini beroperasi dengan anggapan bahawa sebahagian besar dari pelaburan mereka, atau sekurang-kurangnya 70 peratus akan gagal.

Mereka mencari pelaburan baru yang sifatnya seperti mitos unicorn – kejayaan besar-besaran yang akan mengambus kegagalan lain.

california

Vanity Fair baru-baru ini menghimpun 14 perusahaan yang menemui kegagalan besar di sini, termasuk Theranos, syarikat bioteknologi yang dibelit skandal dan kini disiasat kerajaan persekutuan.

Syarikat pembersih rumah Homejoy dan RDIO, perkhidmatan saluran muzik dalam talian, muncul dan hilang begitu pantas dan tidak sempat diingati. The Valley mengebumi jenazah warganya dengan cepat dan senyap-senyap.

Tidak hairanlah sukar untuk mencari bukti kegagalan masa lalu di The Valley, serta kejayaannya. Silicon Valley tidak merakam sejarah. Sejarah hanyalah perkara yang difikir kemudian di wilayah ini yang memaku pandangannya ke masa depan. Namun akarnya masih tertanam di sini, jika anda mahu menggali.

Penziarah yang berminat biasanya akan terus menuju ke 365, Addison Avenue di Palo Alto. Apa yang menarik perhatian mereka bukanlah rumah ini tetapi struktur di sebaliknya – sebuah garaj kecil dengan pintu berwarna hijau.

Di sini, pada 1938, dua orang graduan Stanford, Dave Packard dan Bill Hewlett menghabiskan masa bereksperimen berjam-jam lamanya setiap hari. Mereka menggodek-godek itu dan ini dan mencuba segala-galanya – pengawal motor untuk teleskop, alat yang mengeluarkan bunyi bila ada pemain melepasi garisan di lorong bowling , dan banyak lagi. Segala-galanya menemui kegagalan.

Kira-kira setahun kemudian, mereka berdua mencipta satu alat baru yang berjaya, sebuah audio oscillator – satu litar pemasa yang digunakan untuk menguji peralatan audio. Tapi itu hanya selepas mencipta satu demi satu kegagalan besar.

coffee

Saya duduk pada satu petang di sebuah kedai kopi di Mountain View, kawasan yang menempatkan Google dan pelbagai optimisme tak berpenghujung. Ketika saya menghirup secawan kopi Ethiopia, pelbagai kereta tanpa pemandu meluncur dengan senyap di jalanan, berkongsi laluan dengan kereta-kereta Tesla.

Saya ditemani Chuck Darrah, seorang ahli antropologi yang menghabiskan masanya mengkaji adat dan budaya penghuni Valley. Chuck seorang yang lebih kepada pemerhati – sangsi dengan kepercayaan evangelis Valley pada kuasa teknologi untuk memperbaiki dunia, dan beliau tidak memiliki telefon mudah alih.

Salah satu mitos paling besar mengenai Silicon Valley, kata Chuck, adalah betapa orang-orang di sini mengambil risiko. Itu adalah mitos yang benar dan tidak benar pada yang sama. Silicon Valley merai risiko, dan pada masa sama “mempunyai mekanisme terbaik di dunia untuk mengelak (kerumitan) akibat risiko.”

“Cuba fikir, kami diberitahu bahawa usahawan ini memang layak dapat duit kerana risiko yang diambil. Tapi anda tidak lihat sesiapa terjun bangunan di sini. Mereka akan bernasib baik.

“Mereka boleh mendarat di tempat seperti ini, minum cappuccino, sebab risiko yang diambil adalah risiko yang berbeza. Ramai orang dalam bidang teknologi tinggi akan mengaku jika mereka hilang pekerjaan, dan mereka akan dapat pekerjaan lain. Mungkin mereka akan dapat kerja yang lebih baik.”

computer history museum 1

“Jadi mereka bekerja dengan sokongan keselamatan?”

“Ya. Jaringan keselamatan yang besar. Lebih mudah untuk mengambil risiko jika anda terlindung daripadanya.”

Chuck menolak kata-kata mutiara usang lagi bosan yang memerikan bahawa kunci kejayaan adalah dengan menghadapi kegagalan. Sebaliknya, persoalan yang patut ditanya adalah: Apakah perbezaan di antara kegagalan yang membawa inovasi dan kegagalan yang membawa… lebih banyak kegagalan?

Pengkaji kini percaya bahawa jawapannya tidak terletak pada kegagalan itu sendiri tetapi cara kita memperingatinya – atau lebih tepat lagi cara kita menyimpan memori tersebut.

Gagalis yang berjaya adalah orang yang dapat mengingati dengan tepat di mana dan bagaimana mereka gagal. Jadi, bila mereka menghadapi masalah sama, walau dengan samaran lain, mereka akan dapat mencari “indeks kegagalan” ini dengan cepat dan cekap. Mereka sanggup melihat kembali kesalahan lampau.

Ketika kami menghabiskan kopi, sinar matahari di California berubah rona menjadi kemilau keemasan. Chuck Darrah menjelaskan, simbol sebenar Silicon Valley bukanlah pejabat dengan pelan terbuka atau meja ping-pong, tetapi van pemindahan barang.

Terdahulu, saya sudah nampak sebuah van ini diparkir di luar sebuah blok pejabat di Mountain View. Pekerja pemindahan itu sibuk sekali memunggah kerusi ergonomik dan meja buatan Denmark.

Tiada syak lagi, mereka sedang membuang satu lagi bangkai perusahaan yang menemui kegagalan atau memberi ruang untuk perusahaan baru. Di Silicon Valley, pengganti akan sentiasa muncul.

This story originally appeared in BBC with the headline ‘The golden child who loves to fail’.


geography-of-genius-eric-weiner-02ERIC WEINER adalah pengembara dan penulis buku, antaranya The Geography of Genius.

Buku ini merakam kunjungannya ke tempat-tempat penting yang melahirkan ramai genius di dunia untuk mengkaji kaitan antara idea inovatif dan ciri persekitaran.

Beliau melihat sejarah Vienna tahun 1900, zaman Renaissance di Florence, Athens kuno, Dinasti Song di Hangzhou dan Silicon Valley untuk menunjukkan bahawa persekitaran urban tertentu memupuk kepintaran. Bukunya boleh diperolehi di sini.

Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Comments

comments