Sesak di Kuala Lumpur, bertemu damai di Lata Berkelah

Orang Bukit Malaysia

Kota ini menyesakkannya. Elia Elina tidak ingin habiskan hujung minggu di pusat membeli-belah saban minggu. Pada satu hari, rakannya mengajak beliau ke Lata Berkelah.


Sebaik tamat pengajian, Elia Elina bekerja sebagai pegawai penarafan kredit di sebuah institusi kewangan.

Beliau gembira kerana mampu menyara hidupnya sendiri. Elia, 24, bukan lagi seorang pelajar yang hanya bergantung kewangan pada ibu bapa atau biasisiwa.

Namun adakah beliau gembira dengan kehidupannya? Elia terhenti sejenak ketika persoalan itu diajukan padanya.

A photo posted by ELIAELINA (@elia_elina) on


“Tiap-tiap hari saya bekerja. Tapi bila hujung minggu, saya tidak tahu nak buat apa, habiskan duit sahaja di pusat membeli-belah,” katanya.

Beliau resah apabila memerhatikan sikap masyarakat kota ini yang berlumba-lumba untuk menimbun harta kekayaan.

Di saat itu, beliau mula menilai realiti hidupnya di hutan batu ini. Beliau tidak berasa gembira dengan menghabiskan wang di pusat membeli-belah saban minggu.

Pada satu hari, seorang teman yang dikenalinya sewaktu di kolej mengajak beliau ke Lata Berkelah di Maran, Pahang.

A photo posted by @razihaziq on


Pengalaman itu memberi peluang kepadanya untuk menjelajahi satu ruang baru dalam hidup mudanya.

Hutan itu juga memberi kedamaian, keyakinan diri dan peluang kepadanya untuk mengenal dan menyayangi khazanah alam.

“Saya dapat lepaskan tekanan dan menguatkan motivasi diri. Saya akan dorong diri saya untuk mendaki dan capai matlamat,” katanya.

Pengalamannya di Lata Berkelah itu juga membuatkan beliau menghargai masa berharga dengan rakan-rakannya.

“Saya tidak perlu buka telefon dan semak media sosial setiap masa,” tambah Elia.

A photo posted by @nrmirthira on


Selepas beberapa kali memudiki sungai dan merintis denai, gadis ini dapat merasai perbezaan ketara pada dirinya.

Tahap kesihatannya bertambah baik. Beliau juga semakin bertenaga dan ceria.

Pengalamannya di Lata Berkelah itu juga membuatkan beliau lebih menghargai setiap kemudahan yang dikecapi di kota Kuala Lumpur.

Elia belajar ikhtiar hidup dengan tinggal di dalam khemah dengan kemudahan serta peralatan paling asas.

Beliau kali pertama mengunjungi Lata Berkelah pada musim monsun, November tahun lalu.

Pada waktu malam, hujan lebat membadai sehingga menyebabkan air bertakung di tapak perkhemahannya.

“Kami belajar membuat longkang untuk melalukan air keluar dari tapak perkhemahan,” katanya.

Pengalaman itu tidak sekali-kali menyebabkan beliau serik untuk menyertai aktiviti seperti ini. Beliau pasti akan menyertai aktiviti Orang Bukit Malaysia lagi.


Elia Eliana salah seorang anggota komuniti Orang Bukit Malaysia.

Lata Berkelah merupakan salah satu destinasi perkhemahan yang bakal dimuatkan dalam jadual acara Orang Bukit Malaysia untuk tahun 2016.

Anda ingin muatkan pakej mendaki gunung atau perkhemahan di KEMBARA.MY? E-mel kepada kami ([email protected]).

 

 

Comments

comments