Semakin banyak penyu mendarat di pantai Terengganu

Peminat aktiviti snorkeling dan menyelam mungkin akan lebih berpeluang untuk bertemu penyu di perairan Terengganu kerana Jabatan Perikanan negeri menjangka kadar pendaratan penyu untuk bertelur di pantai negeri itu akan terus meningkat pada tahun ini.

Selain peningkatan jumlah telur, para pemerhati turut mendapati kadar kematian reptilia terancam itu juga terus menurun.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dilaporkan berkata, sebanyak 515 sarang dan lebih 50,000 telur penyu direkodkan sepanjang Januari hingga Mac.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 300 sarang dengan 30,000 telur sepanjang tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, trend itu menunjukkan bahawa peningkatan penguatkuasaan pihak berkuasa serta kesedaran orang ramai ke atas kegiatan memburu penyu memberi impak positif.

“Kita tidak dapat agak jumlah peningkatan secara tepat, tetapi berdasarkan pemerhatian, jumlah pendaratan memang dijangka akan terus meningkat sekali ganda,” katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Menurut Zawawi lagi, jabatannya merekodkan 4,937 pendaratan penyu sepanjang tahun lalu yang menghasilkan sebanyak 420,589 biji telur penyu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 328,226 ekor anak penyu berjaya dieram dan dilepaskan.

Laporan sama juga menyebut, kadar kematian penyu pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu dalam tempoh tiga bulan pertama.

Sebanyak 17 kematian penyu dicatat pada tahun ini, berbanding 47 kematian pada tahun lalu, menurut Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Abd Halim Mat Noor dalam laporan sama.

Menurutnya, punca utama kematian penyu adalah penggunaan pukat pari oleh nelayan.

“Kita harap pihak berkuasa memandang serius perkara ini dengan meningkatkan penguatkuasaan dan kita harap nelayan tidak lagi menggunakan pukat pari kerana ianya memang merupakan ancaman bagi penyu,” katanya.


Comments

comments