Mengapa Orang Asli Temiar lawan pembalak di Gua Musang?

Sekumpulan 50 orang aktivis dan penduduk Orang Asli Temiar di pedalaman Gua Musang, Kelantan memperluas sekatan untuk menghalang jentera pembalak keluar masuk ke kawasan yang dianggap tanah dan wilayah adat mereka

Satu sekatan baharu dibina sejak hari Isnin lalu di satu jalan tanah di kawasan penempatan di antara Pos Tohoi dan Pos Simpor, kira-kira dua jam perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda dari Gua Musang.

Sasaran utama adalah untuk mengusir keluar kumpulan pembalak dan mengelak pembasmian hutan berterusan.

Pada hari Rabu, wakil syarikat pembalak muncul di kawasan sekatan bersama beberapa individu yang didakwa sebagai “polis dan pegawai Jabatan Perhutanan” yang menahan tiga orang aktivis dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Orang Asli Kelantan Gua Musang blockade loggers

Salah seorang dari yang ditahan adalah jurucakap Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along yang menyebut, kumpulan yang membawa senjata api itu turut bertindak agresif dan memusnahkan sekatan Orang Asli dengan mesin gergaji.

“Saya ditahan dengan alasan saya melakukan provokasi,” kata Mustafa dalam rakaman video itu.

Imej individu didakwa sebagai anggota polis tersebut dirakam oleh wartawan video online The Star di lokasi, namun laporannya tidak mengesahkan identiti sebenar individu terbabit.

Ketiga-tiga aktivis berkenaan membuat laporan polis sebaik dibebaskan kerana “anggota polis berada di situ atas kapasiti tidak rasmi,” kata peguam, Siti Kasim kepada KEMBARA.MY ketika dihubungi.

Pembalak ini didakwa mendapat lesen pembalakan dari Jabatan Perhutanan Kelantan.

Bagaimanapun, kumpulan masyarakat Temiar ini kecewa kerana tidak dirunding sebelum kerajaan mengeluarkan lesen membalak. Kewajipan tersebut termaktub dalam Deklarasi PBB tentang Hak-Hak Penduduk Asli.

Penduduk dan aktivis Orang Asli hari ini dilaporkan berjaya membina semula sekatan yang dirobohkan kumpulan wakil syarikat pembalak.

Sekatan di lokasi antara Pos Tohoi dan Pos Simpor ini menyekat akses pembalak ke kawasan hutan lebih luas dari sekatan terdahulu yang dibuat pada 4 Jun lalu di Pos Gob.

Banjir besar yang melanda Kelantan tahun 2014 juga dikaitkan dengan kegiatan pembalakan berleluasa di kawasan pedalaman negeri itu. Dakwaan tersebut ditolak oleh kerajaan negeri.

Kumpulan masyarakat Orang Asli di pedalaman Kelantan terjejas teruk akibat kemusnahan tanaman dan sumber makanan dari hutan dan sungai susulan banjir besar terbabit.

Dianggarkan 10,000 warga Orang Asli tinggal di kawasan tanah tanpa sebarang geran atau dokumen pemilikan yang menyebabkan mereka boleh diusir pada bila-bila masa.


Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Comments

comments