Saya seorang wanita, ini sebab saya berkhemah solo dalam hutan

Oleh Jen Rose Smith

Ketika berkhemah seorang diri, saya mengamalkan satu ritual. Pada malam pertama, saya akan tidur lewat kerana membaca, itupun hanya tidur ayam sehingga matahari terbit.

Saya akan memasang telinga untuk mengesan setiap bunyi ranting patah. Jika saya masih belum penat kerana tidak cukup tidur untuk satu malam, saya pasti akan penat pada malam kedua. Menjelang malam ketiga, saya pastinya akan dapat tidur nyenyak.

Saya berpengalaman merentas denai dan berkhemah seorang diri selama 15 tahun. Perasaan sayang saya pada keadaan terpencil ini mengatasi stres yang dialami ketika menanti subuh.

Beberapa musim lalu, saya bercakap dengan beberapa pengembara wanita mengenai rasa takut ketika bermalam seorang diri di dalam hutan. Saya agak terkejut kerana mendengar kisah lebih kurang sama dari beberapa orang wanita paling kental yang saya kenali.

Antaranya, saya menemui penulis, Kirsten Koza semasa berbasikal di Mongolia dan semasa perjalanan ke Transylvania. Beliau mengakui mengalami satu rangsangan mental ketika berseorangan dalam khemah pada waktu malam.

Pada waktu malam seperti itu, memori mengenai laporan berita ke atas kejadian ngeri dan juga gambaran dari filem seram bermain di dalam benak Koza sehingga tubuhnya kaku akibat ketakutan.

Shey Kiester pula seorang pendaki gunung, pengembara dan seorang yang dikenali sebagai seorang yang lasak. Ketakutan pada kegelapan menyelubungi perasaannya setiap kali berkhemah. Namun beliau sentiasa mencabar dirinya untuk menghadapi ketakutan itu untuk membolehkannya menikmati keindahan di tempat yang dikunjungi.

“Saya seorang wanita yang tabah dan berdikari, tetapi saya tahu terdapat satu tahap yang mana saya terlalu takut sehingga saya tidak dapat memujuk diri sendiri dan tidak dapat membuat pertimbangan dengan akal,” katanya.

Memang sukar untuk merungkai rasa takut untuk bermalam seorang diri di lapangan. Bunyi ranting patah mungkin menandakan kehadiran haiwan liar, orang tidak dikenali, atau amaran awal bahawa sebatang pokok akan meranapkan khemah.

Saya bercakap dengan pengembara lelaki dan wanita mengenai bermalam dalam hutan dan mengenalpasti kebimbangan yang sama. Beruang dan pokok tidak memilih jantina mangsa. Tetapi, seperti juga wanita lain, kembimbangan saya lebih tertumpu kepada orang dan bahaya yang bersifat seksual.

Sekiranya pengembara wanita bimbang pada ancaman serangan seksual dan keganasan, perkara itu sememangnya berasas. Ramai wanita mengalami gangguan seksual yang lebih kerap apabila mereka mula meneroka minat ke atas kegiatan luar – sebagai contoh, menjadi sasaran siulan nakal ketika berlari, berjalan kaki, atau berbasikal seorang diri.

Gangguan seperti ini memberi mesej bahawa masyarakat melihat wanita solo sebagai golongan yang mudah terancam dari segi seksual dan. Tindakan mereka berkhemah seorang diri pula dianggap mengundang bahaya.

Tiada apa yang lebih sunyi berbanding ketika berada di dalam hutan seorang diri.

Wanita sentiasa diingatkan untuk menjaga diri sendiri – seperti bergerak dalam kumpulan, sentiasa berada dekat dengan rumah, dan sentiasa membawa telefon bimbit untuk kecemasan. Tindakan backpacking secara solo tentunya melanggar segala peringatan yang dididik sejak sekian lama.

Ketika saya berkongsi cerita mengenai hiking dan berkhemah seorang diri, saya melihat kening pendengar ini terangkat tinggi dan mereka menasihatkan supaya mencari seorang teman untuk memastikan saya selamat.

Apabila orang mengatakan bahawa seseorang wanita bertindak semberono jika memilih untuk mengembara seorang diri, ia mungkin berpunca dari kurang kefahaman mengenai realiti serangan seksual.

Wanita lebih cenderung diserang dalam rumah sendiri atau di ruang peribadi, menurut Jennifer Weseley dari University of North Florida, yang mengkaji mengenai keganasan ke atas wanita.

Ketakutan ke atas orang yang tak dikenali juga satu tanggapan salah kerana lebih dari dua pertiga dari wanita yang mengalami serangan seksual mengenali penyerang tersebut.

Sementara itu, hutan banat masih lagi selamat. National Park Service melaporkan 83 kes rogol (satu kes dalam 3,527,951 pengunjung) berlaku pada 2014 di tanah awam yang ditadbirnya. Ini lebih rendah berbanding 84,041 kes rogol (satu kes dalam 3,794 orang) yang berlaku di seluruh Amerika Syarikat.

Pada tahun yang sama, terdapat 16 kes pembunuhan di kawasan ditadbir National Park Service, berbanding 14,249 kes bunuh yang berlaku di serata negara. Data tersebut menceritakan kisah yang berbeza dari apa yang saya bimbangkan.

Kebimbangan saya sehingga tidak dapat tidur malam ketika bermalam di dalam hutan itu tidak mencerminkan bahaya sebenar yang berlaku di dunia. Ini samalah seperti orang yang takut naik penerbangan atau takut pada ikan jerung. Kebimbangan ini berbeza dengan rasa takut ketika berada di lebuh raya, atau pada penyakit jantung.

Apabila saya memahami perkara ini, saya bertekad untuk menghadapi perkara yang menakutkan diri saya.

Beberapa tahun lalu, saya bertemu satu pasangan ketika mengikuti laluan Appalachian Trail di Georgia. Mereka ingin tahu jika saya hiking seorang diri.

“Lebih baik awak bawa senjata api,” kata wanita tersebut. Dia membuka beg dan menunjukkan selaras pistol. Saya tidak bawa pistol semasa di dalam hutan atau di mana-mana sekalipun, tetapi saya (dan golongan wanita yang saya kenali) menemui cara untuk mengatasi ketakutan.

Shey mengenakan lampu suluh di kepala untuk membolehkannya fokus pada perkara di hadapannya dan untuk memadamkan imaginasinya. Kirsten menghargai suasana semasa cuaca ribut yang menjadi pelindung kepadanya dari dunia luar.

Jika saya tidak melingkar di dalam khemah sambil mendengar pelbagai bunyi, saya akan duduk di luar sambil melihat ke sekeliling dan memadankan bunyi tersebut dengan chipmunk atau dedaunan yang gugur.

Saya membayangkan bahawa orang yang ingin membuat serangan seksual pada waktu itu perlu membawa bekalan makanan dan pakaian tebal, dan masuk ke dalam hutan untuk mencari hiker yang tidak mandi.

Jika tidak meliaht ke sekeliling, saya akan memandang kelipan bintang di angkasa. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menikmati pemandangan, perasaan aman dan suasana damai. Itulah sebab saya datang ke sini, dan itulah sebab kenapa saya tidak akan berhenti bermalam di dalam hutan seorang diri, biarpun sukar melelapkan mata.

 


Tulisan ini diterjemah dan disesuaikan dari artikel asal yang disiarkan laman Outside Online.
Foto hiasan oleh Gordon Watt disiarkan dengan lesen Creative Commons.
Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

 

Comments

comments