Permainan video ini ubah nerd pingitan menjadi pengembara

Di kota-kota besar seluruh dunia, pengguna permainan video ini dilihat berjalan mundar-mandir tanpa tujuan. Ada yang tertonggeng-tonggeng dan terdongak-dongak dan menghala telefon bimbit ke segenap arah.

Fenomena ini digelar Pokemon Go.

Permainan Pokemon sebelum ini dikaitkan dengan kanak-kanak nerd yang tidak suka bersosial dan lebih gemar memerap dalam bilik untuk bermain permainan video dan menonton anime.

Namun kini segalanya berubah. Permainan video baru dengan lapisan peta GPS ini mendorong pemain untuk keluar dari rumah dan mengembara untuk mencapai misi mereka.

Pemain perlu mencari raksasa comel dalam dunia maya – tetapi di dunia sebenar – dengan menggunakan telefon pintar.

Teknologi ini digelar sebagai medan realiti yang diperluas iaitu realiti dunia sebenar yang diadun dengan dimensi maya dalam komputer.

Edisi baru permainan video ini diterbitkan pada minggu lalu dan meningkat popular dengan mendadak. Data yang diperolehi setakat ini menunjukkan jumlah penggunanya lebih besar daripada Twitter.

Asalnya, permainan ini popular dalam platform Game Boy, keluaran Nintendo sekitar 10 tahun lalu. Kini, peminatnya sudah besar panjang dan mampu membeli telefon pintar yang canggih.

Jutaan penggunanya kini berlumba-lumba untuk mengumpul watak Pokemon yang paling berkuasa, untuk memerangi satu sama lain dalam sejenis peta Google Map.

Kami di KEMBARA.MY secara umumnya tidak peduli pada permainan video yang membuatkan manusia terperuk dalam rumah dan tidak gemar terkena sinaran suria.

Namun, maklumat yang diperolehi setakat ini menunjukkan bahawa permainan ini patut diberi beberapa perhatian.

Paling utama sekali, permainan ini mendorong para pemain – terutama kanak-kanak – untuk keluar dari rumah dan menjalankan aktiviti sihat. Aplikasi ini juga dapat menyukat setiap langkah yang dihayunkan oleh pemain semasa pencarian Pokemon. Pemain boleh mendapat markah tambahan berdasarkan data ini.

Setakat ini, objektif untuk pemainnya banyak ditetapkan di kawasan bandar, namun permainan ini mempunyai banyak potensi.

Pembangunnya boleh menyorokkan Pokemon berharga itu di serata tempat di seluruh dunia untuk mendorong pemain untuk keluar mengembara lebih jauh demi misi tersebut.

Pengguna di Malaysia Pokemon Go dapat mencuba permainan video ini bermula 6 Ogos. Aplikasinya boleh dimuat turun melalui Play Store (Android) dan App Store (iOS).

 


Tulisan ini dikemaskini pada 6 Ogos.

 

EDITOR KEMBARA.MY

Amati dunia luar melalui liputan kami ke atas isu alam, latar geografi, budaya masyarakat, peralatan kembara dan gaya hidup aktif.

Comments

comments