Pilih beg galas sesuai untuk wanita, pikul ikut keupayaan

Anis Ibrahim gembira kerana banyak pengeluar beg kini menawarkan beg galas khusus untuk golongan wanita untuk mendaki atau merentas gunung.

anis hikingBeliau memerhatikan, banyak beg di pasaran pada masa ini juga menggunakan bahan yang lebih maju berbanding ketika beliau mula berjinak-jinak dengan aktiviti luar, 20 tahun lalu.

Beg galas dalam kategori ini pada khususnya menawarkan rekaan yang sesuai dengan bentuk tubuh wanita – meliputi panel sokongan untuk bahagian belakang tubuh serta tali pendakap di bahu dan pinggang.

“Beg seperti ini memberi banyak kelebihan, terutama jika anda mempunyai masalah tulang belakang seperti saya,” kata Anis ketika ditemui KEMBARA.

Anis disahkan mengalami masalah scoliosis – satu keadaan di mana tulang belakang berada dalam kedudukan tidak teratur.

Masalah tersebut tidaklah begitu serius sehingga memerlukan pembedahan, tetapi cukup menyakitkan ketika beliau membawa beban yang lebih dari sepatutnya, katanya.

Untuk perjalanan singkat seperti rentasan kembara dalam hutan sehari suntuk, beliau akan memilih beg Deuter Aera dengan kapasiti 28 liter.


“Saya tidak boleh bawa beban terlalu berat. Paling banyak, saya akan bawa sehingga 6 kg. Tetapi bila habis hiking tetap rasa seperti separuh mati,” katanya.

Untuk perjalanan lebih jauh, beliau akan membawa beg Osprey Sirrus, yang menawarkan kapasiti 36 liter.

Baginya, paling utama, beg untuk kegiatan hiking perlulah mempunyai ruang untuk simpanan air, tongkat mendaki dan juga poket yang memadai.

Untuk aktiviti rentas gunung yang hanya mengambil masa sehari, beban paling berat yang dibawa adalah air dan kamera.

Anis berkata, beliau kini bercadang untuk menggunakan kamera lebih ringan untuk menggantikan kamera DSLR model Canon 1100D.

Anis mengidamkan satu model keluaran Gregory Packs, namun tidak berani untuk membeli secara langsung melalui kedai dalam talian.

“Sebelum membeli, beg perlu dicuba terlebih dahulu. Kita perlu berupaya untuk mengangkat beg tersebut berserta bebanannya,” tegasnya.


Anis Ibrahim pernah berkhidmat sebagai peguam dan wartawan. Beliau berkongsi pengalaman kembaranya di laman Five Feet Flat.

Bahagian kedua: Elak sakit belakang, pilih beg galas sesuai

Comments

comments