Pihak berkuasa gempur Tiger Temple dalam operasi besar-besaran

ALAM

Pasukan keselamatan Thailand menggempur sebuah wat kontroversi di wilayah Kanchanaburi yang didakwa menzalimi dan memperdagangkan harimau terbabit.

Laporan media menyebut, pasukan berkenaan setakat ini berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh ekor daripada lebih 130 ekor harimau di Wat Pa Luangta Maha Bua Yannasampanno.

Operasi bersepadu bermula Isnin lalu dengan kekuatan kira-kira 1,000 orang anggota pihak berkuasa Thailand kini menumpukan kepada usaha untuk menangkap mamalia yang masih bebas.

Pasukan berkenaan menemui kesukaran kerana harimau terbabit dilepaskan daripada belenggu rantai oleh pentadbir wat berkenaan, susulan rundingan dengan pihak berkuasa pada hari Isnin.

Sekurang-kurangnya enam ekor harimau terpaksa ditembak dengan ubat pelali sebelum berjaya ditangkap dan dipindahkan, lapor Bangkok Post.

Portal Khaosod English pula melaporkan, pihak berkuasa turut menemui 40 bangkai haiwan termasuk anak harimau dan binturong dalam kawasan wat tersebut.

Operasi oleh anggota polis, tentera, doktor haiwan dan jabatan perlindungan hidupan liar Thailand itu dijangka akan berterusan sepanjang minggu ini untuk mengesan harimau yang masih terlepas.

polis gempur tiger temple1Operasi berkenaan turut diperhatikan oleh penjaga harimau wat berkenaan serta wakil NGO kebajikan haiwan. Wat Pa Luangta Maha Bua Yannasampanno kini ditutup kepada pelawat.

Wat yang terkenal dengan nama Tiger Temple itu diasaskan pada tahun 1994 dan dipromosi sebagai pusat perlindungan bagi 137 ekor harimau.

Pusat tersebut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk bergambar dengan harimau dan untuk bermain-main dengan anak haiwan berkenaan.

Kegiatan wat tersebut mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan selepas timbul dakwaan daripada aktivis kebajikan haiwan.

Antara dakwaan tersebut melibatkan tindakan zalim, penyeludupan dan pembiakan haram. Turut dibangkitkan adalah kebimbangan mengenai keselamatan pengunjung.

Laporan The Guardian ke atas wat berkenaan sebelum ini juga mendakwa sesetengah haiwan berkenaan kelihatan lali.

Wat berkenaan sebelum ini telahpun menafikan segala dakwaan tersebut melalui naib presiden yayasannya, Suthipong Pakcharoong.

“Tiada apa yang haram dan berbahaya. Jika mereka kelihatan seperti itu, ia akan menjejaskan industri pelancongan,” kata Suthipong seperti dikutip dalam laporan CNN.

Salah satu NGO yang giat berkempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai layanan ke atas harimau di war tersebut adalah Wildlife Friends Foundation Thailand.

NGO tersebut menyabut baik operasi berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang wajar.

“Harimau ini tidak lagi dapat digunakan sebagai alat untuk membuat wang untuk membolehkan establishment yang korup menjadi lebih kaya,” kata NGO tersebut dalam kenyataan di Facebook.

Laporan berkaitan:
Apa salahnya naik gajah? Bergambar dengan harimau?
TripAdvisor kaut untung dari kekejaman pada haiwan?

 


Foto ehsan Wildlife Friends Foundation Thailand.

Harimau liar di habitat semulajadi Russia dan Asia hanya berjumlah kira-kira 3,000 ekor. Dianggarkan sebanyak 5,000 ekor lagi dikurung oleh pemilik persendirian di Amerika Syarikat.

Comments

comments