Boeing 737 ini mampu terbang dengan bahan bakar ‘kayu api’

Pada pagi Isnin lalu, sebuah pesawat meluncur laju di atas landasan di sebuah lapangan terbang Seattle untuk berlepas ke Washington DC. Tiada apa yang ganjil pada pesawat Boeing 737 tersebut.

Jika dilihat sekali imbas, pesawat itu sama sahaja rupa bentuknya dengan pesawat lain.

Tetapi itulah penerbangan sulung pesawat Boeing 737 yang menggunakan bahan api daripada kayu reja dan sisa pokok hutan.

Jurucakap syarikat penerbangan Alaska Airlines menyifatkannya sebagai satu pencapaian baru yang bersejarah.

“Ini satu detik penting dalam usaha Alaska untuk mempromosi bahan api bio dan begitu mengujakan kerana ia diperolehi secara unik dari sisa hutan di barat daya Pasifik,” kata Joe Sprague, naib presiden komunikasi kanan Alaska Airlines.

Bahan api jet tersebut dihasilkan melalui projek dipimpin Washington State University, Northwest Advanced Renewables Alliance (NARA) dengan kerjasama Gevo Inc, sebuah firma teknologi tenaga boleh diperbaharui.

Ini bukanlah kali pertama Alaska Airlines mencuba bahan api jet yang boleh diperbaharui. Pada Jun lalu, ia menggunakan bahan api dengan adunan 20 peratus bahan berasaskan jagung dalam penerbangan mengikut laluan sama.

Bahan yang digunakan daripada pokok dalam bahan bakar baharu kali ini juga serupa dengan bahan daripada hasil jagung – gula.

Gula yang terhasil daripada proses fotosintesis jagung tersebut diubah menjadi alkohol dan seterusnya menjadi minyak tanah atau kerosin.

Proses penghasilan bahan bakar daripada kayu ini lebih mahal, tetapi ia boleh menghasilkan isobutanol – sejenis alkohol yang boleh dijadikan bahan api lebih sesuai untuk enjin jet.

Adunan dengan bahan berasaskan kayu ini bagaimanapun lebih bermanfaat kerana penghasilannya tidak perlu bersaing dengan pengeluaran dan tanaman makanan.

Sebaliknya, ia hanya menggunakan kayu reja dan sisa yang biasanya hanya dikumpul dan dibakar.

Sekiranya proses tersebut mendapat sokongan, ia dijangka akan menghasilkan pekerjaan baru untuk pekerja dalam sektor pembalakan.

Pada masa ini, bahan api boleh diperbaharui seperti isobutanol terpaksa bersaing dengan bahan api berasaskan petroleum.

Tidak banyak syarikat penerbangan yang berminat tetap teknologi ini semakin berkembang pesat.

Penerbangan pada hari Isnin lalu menggunakan 1,080 gelen biofuel. Ia tidak memberi impak besar kepada pengeluaran gas rumah hijau yang disumbangkan Alaska Airlines pada tahun ini.

Namun, jika syarikat tersebut menggantikan 20 peratus daripada keseluruhan bekalan bahan api pesawatnya untuk laluan keluar dari Seattle-Tacoma International Airport, kapal terbang berkenaan hanya akan mengeluarkan 142,000 tan metrik karbon dioksida setahun.

Jumlah perbezaan itu lebih kurang sama dengan penghasilan gas rumah hijau daripada 30,000 buah kereta saban tahun.

Popular Science

 


Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Comments

comments