Perjalanan anak muda Malaysia ini berakhir di muncung pistol

Pada dinihari 16 Mei lalu, seorang pemuda Malaysia, Mohd Nizam Ahmad Basrah sedang menunggang sebuah skuter Yamaha seorang diri ke sebuah hotel di Hat Yai.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pemuda yang berasal dari Pulau Pinang tersebut memotong sebuah motosikal yang dinaiki dua orang warga tempatan.

Salah seorang daripada individu tersebut kemudiannya menembak Mohd Nizam.

Dua butir peluru menikam tubuh Mohd Nizam – satu dari bahagian dada dan sebutir lagi dari bahagian punggungnya.

Beliau ditemui dalam keadaan badannya terkujur lesu di Sripoovanart Road, di tengah-tengah kota Hat Yai.

Kes tersebut menjadi tumpuan dalam komuniti seperti Adventure Touring Malaysia dan Rider Kapcai memandangkan Thailand merupakan antara destinasi paling popular bagi pengembara bermotosikal.

Namun tidak banyak butiran yang diperolehi pada waktu itu. Motif pembunuhan itu kekal menjadi tanda tanya, sehinggalah polis Thailand mendedahkan hasil siasatan mereka semalam.

Menurut jurucakap polis wilayah Songkhla, Mohd Nizam ditembak kerana suspek tidak berpuas hati dengan cara tunggangan pemuda Malaysia itu.

Penolong Ketua Polis Songkhla Kol Chaiwat Nittayavitmol berkata, Mohd Nizam didakwa memotong motosikal suspek “secara tiba-tiba” yang menyebabkan suspek marah dan melepaskan tembakan.

“Motosikal mangsa secara tiba-tiba memotong motosikal dinaikinya bersama rakan, yang menyebabkannya rasa terkejut dan marah dengan kejadian itu telah bertindak melepaskan tembakan terhadap mangsa,” kata Chaiwat seperti dikutip dalam laporan Bernama.

Suspek berkenaan, Warawut Muangmin, 25, dilaporkan telah didakwa atas tuduhan membunuh dan memiliki senjata api serta peluru secara haram.

Seorang lagi suspek yang membonceng motosikal Warawut kini sedang diburu.

Comments

comments