Pengunjung gemar buang sampah, leptospirosis menular lagi

Tindakan pengunjung Jeram Toi yang membuang sampah dan mengabai kebersihan di taman rekreasi tersebut menyebabkan seorang pelajar kolej maut akibat jangkitan penyakit air kencing tikus.

Pelajar Kolej Legenda di Mantin, Negeri Sembilan itu pada awalnya hanya mengalami demam selepas mandi di sungai tersebut pada 30 April.

Beliau seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Tuanku Jaafar. Selepas ujian, barulah Muhd Syazwan disahkan mengidap penyakit air kencing tikus atau leptospirosis pada 9 Mei.

Pada hari Khamis lalu, anak muda tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kesal dengan kematian tersebut, Pengarah kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata tindakan tidak bertanggungjawab pengunjung menyebabkan penyakit tersebut kembali menular di kawasan Jeram Toi

“Siasatan kami mendapati penularan penyakit ini berpunca daripada tahap kebersihan tidak memuaskan di kawasan rekreasi berkenaan akibat pembuangan sisa makanan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Kosmo Online.

Beliau kesal kerana kes leptospirosis berulang setiap tahun sejak 2014 akibat tindakan tidak bertanggungjawab pengunjung taman rekreasi.

Walhal, pengunjung sepatutnya sudahpun mengambil iktibar atas kejadian sebelum ini dan mengutamakan kebersihan ketika mengunjungi Jeram Toi untuk mengelak penyakit tersebut kembali menular, katanya.

Selain Muhd Syazwan, empat lagi pengunjung taman rekreasi tersebut turut disyaki dijangkiti leptospirosis.

Dua daripadanya, penuntut UiTM dimasukkan ke hospital selepas mandi di Jeram Toi pada 24 April.

“Penuntut berusia 21 tahun dimasukkan ke ICU pada 6 Mei lepas manakala penuntut berusia 22 tahun dimasukkan ke KPJ Seremban pada 9 Mei,” katanya.

Dua lagi penuntut UiTM Seremban 3 mengalami demam. Laporan media setakat ini tidak menyatakan bentuk rawatan yang diterima tetapi turut disyaki dijangkiti kencing tikus.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rahim berkata jabatannya akan menangkap rodensia di kawasan berkenaan dan menguji sampel air dan tanah dari taman tersebut dari semasa ke semasa.

Foto Kai Schreiber

 

Comments

comments