Pengembara Malaysia ini belajar erti sejahtera di Bhutan

PANDUAN

Catatan pengembaraan yang dirakamnya dalam blog zahariz.com antara lain memuji usaha Bhutan mengawal pelepasan karbon – pada kadar hanya 1.5 juta tan setahun.


Pengembara Malaysia, Zahariz Khuzaimah berpeluang mengunjungi Bhutan baru-baru ini dan melihat kaedah yang dijalankan untuk memelihara cara hidup dan khazanah alam negara tersebut.

Catatan pengembaraan yang dirakamnya dalam blog zahariz.com antara lain memuji usaha Bhutan mengawal pelepasan karbon – pada kadar hanya 1.5 juta tan setahun.

“Tapi hutan mereka menyerap empat kali ganda daripada jumlah itu. Kerajaan mereka sangat berhati-hati dalam perkara ini.

“Mereka juga menjaga tradisi dan hanya membenarkan sejumlah pelancong sahaja masuk setiap tahun, untuk menjaga tradisi dan cara hidup.

zahariz with guide“Mereka paling menumpukan pada mutu dan bukan kuantiti. Setiap jiwa warga Bhutan kaya dengan ajaran Buddha,” kata Zahariz dalam tulisannya di blog zahariz.com.

Tambahnya, Bhutan meletakkan “kesejahteraan” sebagai kayu ukur utama untuk menyukat prestasi negara berkenaan melalui indeks Gross National Happines.

Indeks ini mencetus fenomena di kalangan pembuat dasar pada sekitar tahun 2012, dan turut mempengaruhi negara seperti Malaysia untuk memperkenal Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Seterusnya, Zahariz memerhatikan bahawa pendapatan purata bulanan rakyat Bhutan juga meningkat kepada USD1,600 daripada USD400 dalam tempoh tujuh tahun.

Hal ini menunjukkan bahawa kuasa beli rakyat Bhutan semakin meningkat dan akan mendorong warga ini untuk membeli barangan.

Pada masa sama, Zahariz melihat bahawa kerajaan negara tersebut kini giat membina jalan untuk menghubungkan kampung-kampung terpencil di negara itu.

Jalan yang baharu dibina ini mungkin akan meningkatkan jumlah pemilikan kenderaan persendirian di kalangan warganya.

Namun menurut Zahariz, warga Bhutan lebih bahagia kerana mereka mengutamakan waktu bersama keluarga dan bukannya untuk mengumpul harta material.

“Saya merancang untuk mengunjungi negara ini sekali lagi, mungkin selepas setahun dua.

“Tengoklah jika saya berpeluang untuk mengembara di jalan baharu di negara ini dengan basikal saya,” kata Zahariz.

 


Gross National Happiness yang diuar-uarkan Bhutan dianggap kontroversi oleh sesetengah pemerhati hak asasi manusia yang mempertikai dasar nasionalisme etnik negara tersebut.

Dasar yang dikuatkuasa melalui Bhutanese Citizenship Act 1985 memberi kuasa kepada kerajaannya untuk mengusir keluar puluhan ribu golongan Lhotshampas atau “orang selatan” yang kebanyakannya terdiri daripada warga keturunan Nepal.

Penguatkuasaan dasar ini mencetus demonstrasi dan konflik antara etnik pada tahun 1990-an.

Bhutan merekodkan keluaran negara kasar sebanyak USD1.959 bilion pada tahun 2014.

Comments

comments