Morgan Freeman mengembara cari Tuhan dalam ‘The Story of God’

Sebelum ini beliau memerikan watak Tuhan mengikut fahaman Kristian dalam filem Bruce Almighty – yang menimbulkan kontroversi di Malaysia pada 2007.

Kali ini, bintang Hollywood, Morgan Freeman mengembara untuk mencari bukti Tuhan dan melihat sendiri kepelbagaian agama di dunia.

“Dari mana kita datang? Apa yang berlaku apabila kita mati?”. Itu adalah antara beberapa misi pencariannya.

Beliau menyifatkan pembabitannya dalam produksi siri dokumentari The Story of God sebagai pengembaraan agung dan satu perjalanan peribadi dalam menggali misteri ketuhanan.

“Apa yang menakjubkan saya, lebih dari segalanya adalah betapa besar persamaan di antara manusia dalam mendepani kisah Tuhan,” kata Freeman seperti dilaporkan laman National Geographic.

Produksi program tersebut membawanya ke serata dunia, dari Houston, Texas hinggalah ke tebing sungai Ganga di India.

Dokumentari yang disiarkan oleh saluran TV berkenaan mengikuti perjalanannya ke pelbagai komuniti agama untuk melihat sendiri upacara dan masyarakat berkenaan.

Selain itu, beliau turut merelakan dirinya menjadi bahan ujikaji makmal untuk melihat bagaimana kemajuan bidang sains neuro dan kosmologi dapat mencari titik temu dengan ruang agama tradisional.

Pengalaman ketuhanan

Antara lainnya, Freeman mengunjungi satu kelab muzik blues ternama di Clarksdale, Mississippi.

Apa yang dilihatnya di kelab Ground Zero menyebabkan beliau dapat mengaitkan pengalamannya melihat persembahan muzik dengan pengalaman ketuhanan masyarakat dunia.

Beliau juga mengunjungi Lakewood Church di Houston, Texas, salah sebuah gereja mega yang terbesar di dunia.

Freeman melihat anggota gereja tersebut menyanyi bertepuk tangan dan juga menari lagu memuji Tuhan dengan riang.

Di kuil Pasupathi Nath di Varanasi, India pula, Freeman melihat para penganut Hindu tersebut juga amat melakukan upacara dengan sepenuh hati.

Selain itu, Freeman juga melawat masjid di Kaherah, Tembok Buraq dan juga makmal saintifik di Geneva dan sebuah hospital di Philadelphia untuk melihat kajian “neurotheology”.

Kajian tersebut dijalankan untuk mengenalpasti sekiranya sekiranya sains dapat melihat bukti ketuhanan dalam otak seseorang penganut.

Hasilnya, ujikaji diketuai Dr Andy Newberg itu mengesahkan bahawa manusia dari pelbagai latar agama menggunakan bahagian otak yang berbeza untuk berinteraksi dengan Tuhan.

Comments

comments