Mengembaralah walau ke Selayang, pesan A Samad Said

Pada satu hari, Az Samad mengikut bapanya, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said ke Selayang.

Komposer ini berkata, beliau tidak ingat dari mana titik mula perjalanan itu. Namun yang pasti, mereka menaiki bas – sama ada dari Kuala Lumpur atau dari Ampang.

“Kami tiada apa-apa sebab untuk berada di Selayang. Kami hanya menaiki bas untuk mengalami perjalanan menaiki bas dan menikmatinya,” kata Az Samad dalam coretan di Facebook.

Pesanan dan pengalaman mengembara ke Selayang itu menjadi panduan hidupnya dan mengolah sikapnya untuk mengamati suasana dan setiap rasa yang dialami semasa pengembaraan.

“Kadang-kadang, terutama ketika saya mengembara sendirian, saya akan berjalan-jalan tanpa tujuan tertentu dan hanya untuk mengamati suasana sesuatu tempat.

“Anda tidak tahu apa yang akan ditemui,” kata Az Samad yang menambah, bapanya juga mendidik beliau agar tekun membaca buku.

Melalui buku, kita dapat memahami kehidupan individu lain dan mengambil teladan daripada kesilapan dan tindakan dan ketetapan mereka.

Malah, kita juga dapat memperolehi idea yang boleh membentuk pandangan hidup, katanya lagi.

Bentuk pandangan hidup

Tambahnya, bapanya juga gemar membaca dan akan sentiasa mencari peluang untuk mencari kedai buku semasa mengembara.

“Bapa saya gemar kedai buku. Jika anda gemar perkara lain, anda perlu cari jalan untuk mengetahui di mana letaknya (kegemaran itu).

“Kenali di manakah portal kebahagiaan anda,” kata Az Samad lagi.

Bapanya juga sentiasa mendorong beliau untuk berfikir dan sejak dari kecil lagi pemuda ini sering ditanya mengenai minatnya.

“Apa yang orang suka buat pada hujung minggu? Itulah perkara yang ingin dilakukan sepanjang hidup mereka,” kata Az Samad, mengulangi semula kata-kata bapanya.

Persoalan yang sering dilontarkan oleh bapanya itu membuatkan beliau kini menjadi komposer terkenal.

Minatnya yang mendalam dalam bidang muzik membawanya ke Berklee College of Music dan seterusnya ke serata Amerika Syarikat, Eropah dan serata Asia.

Beliau turut berpeluang bekerjasama dengan ramai pemuzik ternama dunia.

“Saya fikir, jika dia tidak pernah kata begini, saya mungkin tidak akan menjadi pemuzik,” tambahnya.

 


Az Samad berkongsi petua hidup tersebut bagi mengenang sepuluh pesanan penting yang diperturunkan oleh bapanya itu sempena sambutan Hari Bapa.

Baca selanjutnya tulisan beliau di Facebook.

Kalendar persembahan dan bengkel kelolaan Az Samad boleh diteliti di laman rasmi beliau.

Comments

comments