Semakin ramai pilih jentera cub SYM, ini sebabnya

Oleh Salhan K Ahmad

Sejak sekian lama, pasaran motosikal berkuasa kecil tempatan dikuasai oleh jenama Honda, tapi sekarang tidak lagi.

Honda mengungguli pasaran dengan model Honda EX5 sejak tahun 1980-an, tetapi kini ditinggalkan oleh pesaingnya, Yamaha. Di tempat ketiga adalah jenama SYM.

Bagaimana satu jenama baharu dari Taiwan dapat menguasai pasaran Malaysia dalam masa hanya beberapa tahun? Saya cuba mengamati persoalan ini dengan menguji salah satu produknya, model Sport Rider 125i. mengikut jalan lama dari Kuala Lumpur ke kawasan Perak Tengah.

Bandar Tronoh dikira masih boleh tahan. Kita masih berpeluang menemui hidangan nasi campur dengan ikan bakar untuk dua orang, berserta minuman, dengan bayaran hanya RM10.

Sambil menikmati hidangan, saya membuat kira-kira. Adakah golongan yang gemar mengembara dengan jentera berkuasa rendah akan tertarik dengan motosikal berharga lebih RM5,700 ini?

Pengembara berpengalaman seperti Lee Panjang memberi markah tinggi untuk motosikal ini. Beliau sudah memacu jentera ini sehingga ke sempadan China tanpa masalah.

Saya hanya menguji motosikal ini untuk perjalanan kira-kira 500 kilometer. Dari Kuala Lumpur mengikut jalan lama ke Tronoh dan berpatah balik semula ke ibu negara mengikut jalan pesisir pantai.

Perjalanan ini menawarkan pelbagai corak tunggangan – ada laluan lurus untuk memecut, selekoh mengasyikkan serta pendakian yang mampu menguji keupayaannya.

Persalinan pakaian, sedikit keperluan diri dan peralatan elektronik boleh disimpan dalam ruang simpanan topi keledar di bawah pelana.

Ruang ini sudah cukup baik, tetapi lebih selesa lagi jika dilengkapi kotak lebih besar di belakang. Sekurang-kurangnya saya akan dapat membawa pulang mentarang segar yang dijual penjaja di tepi jalan.

Saya kira, perjalanan dri Kuala Lumpur ke Tronoh itu memadai dengan isian penuh satu tangki petrol. Namun, baru sahaja di Tapah (sekitar 150 kilometer), penunjuk bekalan petrolnya di papan pemuka sudah berkelip.

Namun kos petrol untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tronoh itu hanya RM10. Bermakna inilah kaedah pengangkutan paling rendah dan paling cepat berbanding kenderaan lain yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Jalan raya begitu sibuk pada hari itu kerana keesokan harinya adalah hari Tahun Baru Cina.

Sekejap-sekejap, ada sahaja pemandu kereta yang kurang sabar akan meluru keluar dari barisan untuk memotong, tanpa mempedulikan penunggang motosikal. Ketika inilah brek cakera pada motosikal ini banyak membantu.

Kepuasan pertama yang dirasai ketika memecut keluar dari Kuala Lumpur adalah output dari enjinnya. Dengan mudah, saya mendaki bukit di Taman Templer dengan gear paling tinggi, tanpa penurunan kuasa yang ketara.

Ketika pendakian pada kelajuan 80 hingga 100 km/j itu, enjin yang mengeluarkan kuasa kira-kira 9 hp itu tidak memberi apa-apa petanda stres yang memaksa saya menurunkan gear.

Berat keseluruhannya hanya 120kg. Jika ditambah dengan berat penunggang dan muatan, ia hanya memberi jumlah kira-kira 180 kg. Sebab itulah motosikal ini sedikit tersasar di laluan apabila diterpa angin ketika kenderaan berat memotong.

Jalan lama ini menemukan saya dengan puluhan persimpangan dengan lampu isyarat. Namun tiada masalah kerana jentera ini mampu meletakkannya kembali ke kelajuan pilihan dalam hanya beberapa saat.

Paparan meter digitalnya memberi banyak pilihan maklumat, termasuk kedudukan gear, suhu, jam, paras bekalan bahan api serta kuasa bateri. Pencahayaannya jelas dan terang walaupun di bawah sinaran terik matahari.

Selain motor penghidup elektrik, enjinnya juga dilengkapi penendang hidup. Pelindung ekzosnya berkesan sebagai penampan haba. Cuma, bahagian ini diperbuat dari plastik yang mudah lekang cat.

Ciri lain seperti pelepasan asap yang mematuhi Euro 3 pula adalah tarikan utama untuk penunggang urban. Anda akan faham betapa pentingnya pematuhan piawai ini jika pernah bersesak-sesak dengan motosikal di persimpangan ibu kota. Dan inilah antara sebab jenama SYM semakin popular di Malaysia.

Kesimpulan: Sport Rider 125i ini cukup sesuai untuk perjalanan dalam bandar dan jarak sederhana tanpa memerlukan banyak modifikasi.


Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau hubungi kami ([email protected])

 

Comments

comments