Mengapa orang sanggup berhabis duit untuk seksa diri sendiri?

Dua minggu lalu berlangsung satu lagi acara larian berhalangan di Malaysia. Ia menarik penyertaan ratusan individu yang gemarkan penyeksaan.

Dengan sukarela, peserta ini berlari puluhan kilometer, merangkak di bawah halangan kawat duri, meredah lumpur dan bukit bukau dalam Spartan Race Malaysia 2016.

Ini hanyalah salah satu daripada 4,000 acara seumpamanya yang berlangsung setiap tahun di serata pelusuk dunia. Itu belum diambil kira pelbagai acara lumba lari, berbasikal, triathlon, memanjat batu, gunung dan sebagainya – yang semakin meningkat saban tahun di seluruh dunia.

Pemenangnya tidak akan menjadi jutawan seperti atlet Olimpik, malah terpaksa menanggung kos lain untuk sertai acara di luar negara. Adakah segala ini hanya untuk merasai pengalaman yang sangat menyeksa dan penuh sengsara?

Mengapa ramai orang berlumba-lumba memuatkan gambar kesengsaraan mereka di media sosial? Ini merupakan antara persoalan yang cuba dirungkaikan oleh wartawan, Scott Keneally dalam filem dokumentarinya, Rise of The Sufferfest.

Beliau pada asalnya hanya mendaftar untuk menyertai satu acara Sufferfest untuk menulis satu laporan. Keneally seterusnya menemuramah peserta dan golongan yang terlibat dalam acara ini.

spartan race 2
Foto Reebok Spartan Race

Hasilnya, beliau dapat menyaksikan satu perkembangan penting dalam peradaban manusia. Antara lainnya, beliau mendapati peserta ini menyertai Sufferfest kerana ingin membuktikan bahawa mereka benar-benar wujud dan bukannya satu mesin yang berfungsi untuk bekerja semata-mata

Menurut Keneally, golongan ini sudah bosan hidup dalam dunia yang selamat. Ia tidak memberi apa-apa parut pada tubuh mereka. Mereka ingin merebahkan badan ke ranjang setiap malam dengan puas hati kerana berjaya melakukan sesuatu yang mencabar.

Keneally menyimpulkan, peserta ini gemar menyertai acara penyeksaan seperti ini disebabkan kemajuan teknologi yang memudahkan urusan manusia tetapi pada masa sama membuatkan mereka menjadi gemuk dan lembik.

Beliau turut menemuramah penulis terkenal, Nicholas Carr yang banyak mengkaji hubungan manusia dengan teknologi dan dunia digital masa kini.

Pemenang hadiah Pulitzer ini menyebut, manusia kini semakin terpisah dengan dunia sebenar yang boleh dirasai dengan pancaindera.

“Kita menghabiskan lebih banyak masa di skrin, menjadi operator perisian. Banyak pekerjaan baru dijalankan melalui skrin. Banyak kehidupan peribadi kita ditunjukkan melalui telefon pintar,” katanya.

Spartan Race
Foto Reebok Spartan Race

Beliau melihat bahawa fiksyen sains yang muncul pada masa ini juga menggambarkan manusia menjadi semakin pasif akibat kemajuan teknologi.

“Seolah-olah, segala keperluan kita dipenuhi tetapi kita berasa sangat tidak cukup. Kita tidak lagi melakukan apa-apa perkara yang menyeronokkan.

“Ia mencerminkan perasaan yang tertanam jauh di dalam sanubari kita, bahawa kita tidak ingin menjadi pasif, kita tidak mahu terpisah dari cabaran dan usaha, kita tidak mahu dipisahkan dari dunia nyata,” kata Carr.

Begitu juga pandangan oleh seorang lagi penulis, Tim Ferris yang melihat bahawa populariti sukan lasak dan kegiatan luar ini muncul akibat perkembangan dunia digital.

Mungkin kelesuan dalam dunia digital ini mencetus keinginan untuk manusia kembali berhubung dengan alam dan fungsi fizikal mereka, katanya yang juga seorang usahawan dan pembimbing motivasi.

Tambahnya, kita tidak dapat merasai hubungan dengan alam apabila berada di hadapan komputer setiap hari.

“Ia mungkin menjelaskan mengapa ramai kenalan saya yang menyertai perlumbaan seperti ini terdiri daripada orang yang paling banyak menghabiskan masa di meja kerja,” kata Ferris.


Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Comments

comments