Mana yang betul? Backpack, haversack atau rucksack?

HACAM | Cekelat Angin

Banyak peralatan yang digunakan pada masa ini merupakan hasil inovasi daripada teknologi lama, contohnya beg galas atau backpack (kantung yang dipikul di atas belakang).

Orang lama dalam bidang mendaki gunung dan merintis denai masih lagi menggelarkannya sebagai haversack.

Nama ini berasal daripada “habersack” dalam bahasa Jerman, iaitu kantung yang digunakan oleh petani untuk membawa hasil tuaian.

“Haber” dalam bahasa Jerman merujuk kepada bijirin oat yang merupakan makanan ruji golongan miskin di sana pada waktu itu.

haversack US soldierDalam bahasa Perancis pula, ia digelar “havresac” yang seterusnya berkembang sebagai “haversack”.

Pada asalnya, haversack ini hanyalah satu karung untuk membawa bijirin. Jika dikaji, kita akan tahu bahawa haversack digunakan secara meluas di kalangan pasukan tentera barat.

Rekaan beg untuk pasukan tentera ini cukup mudah. Ia hanyalah satu karung kanvas yang dipasang tali pendakap untuk membolehkannya dipikul di atas belakang.

Apabila perang merebak, penggunaan beg ini turut mempengaruhi orang awam.

Beg ini membolehkan kita membawa segala keperluan dan peralatan untuk ikhtiar hidup di atas belakang kita sendiri.

Namun, semenjak awal tahun 1990-an sehingga sekarang beg ini lebih popular dipanggil “backpack”.

Ada juga orang lama yang masih memanggilnya dengan nama “rucksack” seperti di United Kingdom. Terjemahan secara mudahnya bermaksud karung untuk diisi dengan barang.

Namun, kerana sudah terbiasa, sehingga kini saya masih memanggil beg ini dengan nama “haversack” walaupun sering ditertawakan oleh anak-anak.

Apa pun, konsep beg ini tidak jauh berbanding bakul yang banyak digunakan oleh warga asal di rantau kita seperti dalam gambar utama di atas.

Tujuannya juga sama – untuk membawa barang. Bezanya, bakul yang digunakan oleh nenek moyang kita ini diperbuat daripada bahan yang lestari alam.

Kandungan berkaitan:
Elak sakit belakang, pilih beg galas sesuai
Pilih beg galas sesuai untuk wanita, pikul ikut keupayaan


Cekelat Angin adalah anggota HACAM. Ruangan ini menghimpun panduan, pandangan dan petua berhubung kegiatan mendaki gunung dan perkhemahan.

Beliau berpengalaman merintis denai di laluan pendakian riadah di seluruh Malaysia sejak tahun 1970-an.

Gambar utama menunjukkan Cekelat Angin menggunakan bakul untuk mengutip durian semasa mengunjungi Bukit Lawang, Indonesia.

Foto anggota tentera AS era Perang Dunia II/ CC

Anda mahu menambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen di bawah atau hantar e-mel kepada kami ([email protected]).

 

Comments

comments