Kota tua Kashgar kian pupus, kota baharu himpit Uighur

Perlahan-lahan, kawasan kota tua Kashgar di Xinjiang kian pupus.

Ramai warga asal Uighur akan tersesar dari kota tua berusia ribuan tahun ini, susulan projek pembangunan yang dimulakan kerajaan China sejak enam tahun lalu.

Pada masa yang sama, kerajaan China membangunkan satu lagi ‘kota tua’ yang baharu untuk tarikan pelancong.

© Aizuddin SaadKota tua yang asal pula akan dimusnahkan bagi projek pembangunan Kashgar, kata Aizuddin.

Ketika kunjungannya ke Kashgar baru-baru ini, beliau memerhatikan penghadang didirikan di pintu masuk ‘kota tua’ baharu.

Pengunjung ke kawasan ini kelak perlu membayar tiket.

Ratusan rumah tradisi yang masih didiami masyarakat Islam di kota tua akan lenyap, kata Aizuddin, 31.

‘Serangan’ ke atas Uighur

Wartawan foto dari Malaysia ini meluangkan masa lima hari untuk meneroka kehidupan seharian masyarakat Uighur di segenap ceruk kota Kashgar.

Tujuan utama dalah untuk merakam kesan identiti budaya komuniti Islam di kota ini.

aizuddin kashgar performerBeliau antara lainnya memerhatikan bahawa usaha modenisasi dan projek pembangunan yang dijalankan di Kashgar sebagai satu bentuk “serangan” ke atas warga Uighur.

“Kerajaan China melakukan bermacam-macam cara untuk hapuskan pengaruh Islam dan budaya Uighur dalam kehidupan seharian warga ini.

“Contohnya, setiap sekolah harus menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama atau perantaraan di sekolah.

“Orang muda Uighur pula tidak dibenarkan menyimpan janggut atau jambang,” kata Aizuddin.

Pemandu arahnya antara lainnya membawa beliau ke satu kedai teh tradisional.

Di dalam kedai eksklusif itu beliau menemui orang-orang lama Kashgar. Pelancong dan rakyat China yang bukan keturunan Uighur tidak dibenarkan masuk ke sini.

Dilarang berpuasa

Kedai teh ini merupakan tempat pertemuan pemimpin masyarakat serta guru sufi untuk membincangkan isu besar yang berkait dengan etnik Uighur – salah satu daripada 56 etnik minoriti China.

Pada Ramadan tahun lalu, timbul dakwaan bahawa pihak berkuasa China memerintahkan penjawat awam, pelajar dan guru Islam supaya tidak berpuasa.

Dakwaan itu menimbulkan bantahan dari masyarakat Islam sedunia, sehingga memaksa kerajaannya tampil memberi penjelasan.

Sekatan seperti inilah yang menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat Islam di Xinjiang. Dalam tempoh sepuluh tahun lalu, berlaku pergeseran yang membunuh ratusan nyawa di sini.

China membelanjakan berbilion dolar untuk membangunkan Xinjiang sebagai satu zon ekonomi baru. Rancangannya adalah untuk menjadikan wilayah tersebut sebagai hab pengangkutan dalam koridor ekonominya.

Bagi Beijing, pembangunan ini bermaksud untuk membantu meredakan ketegangan di wilayah yang sebelum ini dianggap paling miskin di negara besar itu.

Projek pembangunan besar-besaran di zon ekonomi yang sedang berlangsung ini membawa masuk ramai rakyat China sehingga bilangan Uighur susut menjadi 50 peratus dari keseluruhan warga Xinjiang.

Prasangka, stereotaip negatif

Masyarakat Uighur meraikan kebanjiran penghijrah dari etnik Han ini dengan sikap berbeza-beza.

© Aizuddin SaadMenurut Aizuddin, beliau melihat bahawa orang muda Uighur yang berpendidikan Cina kelihatan lebih terbuka dan tiada masalah dengan orang Cina Han.

Orang Uighur yang tidak mendapat pendidikan di sekolah kerajaan China pula dilihatnya memasang prasangaka dan stereotaip negatif ke atas penghijrah etnik Han ini.

Beliau dapat mengesan kesangsian dan prasangka itu ketika menginap di hostel yang diuruskan oleh orang China. Hostel tersebut tidak membenarkan warga Uighur memasuki premis mereka.

“Pemandu arah bertanya sama ada orang China benarkan saya solat. Beliau juga menanyakan pelbagai soalan negatif yang lain

“Malah, beliau meminta saya bersolat dengan berhati-hati di dalam bilik kerana kononnya ada kamera CCTV di dalam bilik.

“Padahal, tak ada apa-apa (masalah) pun,” kata Aizuddin.

 


Aizuddin Saad bertugas di akhbar New Straits Times sejak lapan tahun lalu. 

Ikuti suasana kota Kashgar yang dirakam dari lensa beliau di galeri LensCulture.

Pengembaraan Aizuddin selama 35 hari membawa beliau merentasi China dan Selatan Asia.

Anda ingin menambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Comments

comments