Kenapa kita harus pakai sependa?

Jawapannya dalam pameran Undressed: A Brief History of Underwear di Victoria and Albert Museum yang harus dikunjungi peminat fesyen.


Ada orang memilih untuk tidak memakai seluar dalam, dan ada pula yang tidak suka memakai sebarang jenis pakaian. Namun sebahagian besar umat manusia sekurang-kurangnya akan mengenakan pakaian dalam.

Persoalannya, kenapa kita perlu pakai seluar dalam, atau dalam bahasa kolokialnya “sependa”?

Jawapannya mungkin dapat diperolehi dari pameran seluar dalam di Victoria and Albert Museum di barat London.

Pameran ini menghimpun pelbagai jenis pakaian dalam termasuk bikini terawal yang digunakan warga Roman.

Orang kita mungkin hanya menghimpunkan segalanya dengan nama sependa, tetapi pameran ini meliputi jenis seluar dalam yang lebih luas di dunia Barat, termasuk knicker, brief, petticoat, corset, long john, camisole, boxer dan bra.

Pameran itu mendapat sambutan meluas dengan kunjungan menggalakkan pada hari pembukaannya, minggu lalu, lapor laman majalah sastera dan budaya popular New Yorker.

Menurut laman tersebut, pameran yang berlangsung sehingga Mac 2017 itu bukan hanya mendidik pengunjung mengenai sebab utama untuk memakai seluar dalam.

Seksa diri demi fesyen

Kita sedia maklum, tujuannya memakai pakaian dalam antara lain untuk mengelakkan bahagian sulit melecet, mengelak pakaian luar dari terkena kotoran dan memberi sokongan kepada alat sulit.

Ada juga yang menggunakan seluar dalam untuk menonjolkan lagi bentuk organ tersebut. Namun, selain soal seksualiti, lebih mendalam lagi, pameran tersebut mengupas sisi budaya dan gender.

Sebahagian besar daripada bahan pameran tersebut tertumpu kepada pakaian dalam wanita. Antara yang menarik perhatian adalah korset yang menjadi kegilaan masyarakat kelas tinggi di Eropah sekitar tahun 1770.

Korset tersebut menyekat pergerakan badan dan menghalang pernafasan, namun masyarakat kelas tinggi ini sanggup menyeksa diri seperti itu demi fesyen.

Jenis korset yang dipamerkan juga pelbagai – untuk kegiatan sukan, wanita hamil dan untuk tarian. Pada awal 1900 barulah coli menjadi popular dan digunakan meluas olah kaum wanita.

Bagaimanapun rekaan coli pada masa itu masih lagi memperbesar-besarkan ciri seksual, seperti yang dilihat pada tahun 1920-an dan 1970-an.

Untuk seluar dalam lelaki, pameran ini menumpukan era 1970-an, apabila jenama terkemuka pakaian mula mengecap keuntungan dengan menonjolkan model lelaki untuk memperaga produk mereka.


Acara: Pameran sejarah fesyen
Tempat: Fashion Temporary Exhibition Space, Victorian and Albert Museum
Laman rasmi pameran: www.vac.co.uk

 
 
 
 

Comments

comments