Kenapa jimat masa? Ini sebab kenapa kita patut buang masa

Saban hari, kita perlu menyelesaikan pelbagai tugas dan senarainya menjadi semakin panjang.

Tambahan pula, kita digesa untuk sentiasa menyegerakannya. Budaya produktiviti ini membuatkan kita berasa serba salah sekiranya membuang masa.

Namun kita harus mengakui, hidup yang dipenuhi dengan tugas seperti menjawab emel sahaja tentunya membosankan. Dan masa yang terbuang itulah sebenarnya yang memuaskan hati kita.

Anda tak percaya? Dengarlah sendiri dari pengalaman Merlin Mann, seorang penulis yang menganjurkan pendekatan pengurusan masa Inbox Zero.

The Guardian melaporkan, Mann pada awalnya ditauliah untuk menulis buku mengenai sistem pengurusan emel tersebut. Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan projek tersebut dan kemudiannya memuatkan satu tulisan di blognya mengenai pengalaman berkenaan.

Dalam tulisannya, yang kemudian dipadam, Mann menjelaskan bahawa beliau menghabiskan banyak masa untuk memfokuskan kepada kaedah meluangkan masa hinggakan beliau kehilangan masa berharga bersama anaknya.

Mengulas mengenai pengalaman Mann, seorang ahli psikologi, Michael Guttridge berkata masalah itu timbul apabila kita meluangkan masa terlalu lama untuk mengejar produktiviti sehingga kita tidak mahu berehat dengan baik.

Hinggakan, kita melengah-lengahkan waktu tidur, untuk bersiar-siar dan membaca, katanya. Jika kita dapat meluangkan sedikit masa sekalipun, kita akan sentiasa dihantui oleh tugas yang perlu dilaksana, dan tidak akan dibebani rasa bersalah, tambahnya lagi.

Menurut Guttridge lagi, itulah yang menyebabkan munculnya naluri untuk duduk sahaja di hadapan komputer sambil melayar laman web dan tidak memberi sumbangan langsung kepada kebahagiaan atau produktiviti kita.

“Ada idea yang menetapkan bahawa kita mesti sentiasa bersedia dan bekerja sepanjang masa. Sukar untuk kita keluar dari idea tersebut dan pergi bersiar-siar,” katanya.

Kesannya sangat jelas: Akhirnya kita leka di hadapan komputer – mencari perkara yang boleh mengalih perhatian kita di media sosial sambil memujuk diri bahawa kita sedang menjalankan pelbagai tugas pada masa sama.

Walhal, kita meluangkan masa lebih lama dari sepatutnya untuk menyelesaikan tugas-tugas asas.

Selain itu, kata Guttridge, kita tidak mendapat keuntungan mental dan fizikal dari masa yang diperuntukkan untuk diri kita.

“Ada orang yang makan di meja kerja sehingga komputer terkena sisa makanan – sangat menjijikkan. Kita kerugian kerana tidak mendapat keuntungan mental dan fizikal dari masa yang diluangkan kepada diri sendiri.

“Sepatutnya mereka pergi bersiar-siar, pergi ke kedai kopi, pergilah ke mana-mana,” ujarnya.

Pandangan sama dianjurkan oleh Alex Soojung-Kim Pan, pengarang buku REST: Why You Get More Done When You Work Less.

Dalam tulisannyaa, Soojung membandingkan waktu kerja rutin di pejabat moden dengan waktu kerja karyawan dan pemikir disegani seperti Charles Dickens, Gabriel García Márquez, dan Charles Darwin.

Menurutnya, tokoh ini bekerja mengikut jadual yang santai – lima jam sehari atau kurang daripada itu kerana pada asasnya, kerja tersebut berkembang dan memenuhi masa yang dikhususkan. Kita juga boleh menyiapkan tugas sekian banyak walau meluangkan masa yang lebih singkat di pejabat.

Kadang-kala, ada juga kegiatan yang dianggap sebagai satu ganjaran kepada diri sendiri – seperti menonton wayang atau berjoging – boleh dibebankan dengan tanggungjawab.

Kata Guttridge, ada CEO yang melangkau babak ketika menonton filem supaya mereka boleh terus menangkap intipati cerita. Mungkin mereka boleh menangkapnya, tetapi tentulah mereka tidak dapat mengalami kenikmatan dan keasyikan dalam dunia yang dicipta dalam filem tersebut.

Perbuatan membuat masa ini boleh dianggap seperti mengecas bateri semula. Ia adalah masa untuk menjadi amat tidak produktif yang akan menjadikan kita bekerja dengan lebih baik. Pada masa sama, ia juga memuaskan diri kita, tambah Guttridge.

Malah, aktiviti seperti menonton rancangan TV terus menerus untuk tempoh yang lama juga boleh menjadi satu pengalaman positif – jika kita dapat berehat dan menikmatinya.

Akhirnya, kita harus merangkul saat rehat ini dan mengakuinya sebagai masa yang diluangkan dengan baik.


Diterjemah dan disesuaikan dari tulisan di laman Quartz.

Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau emel kepada kami ([email protected])

Comments

comments