Tumbuhan indah ini makin pupus di Hawaii

Ohia adalah sejenis tumbuhan yang menghasilkan bunga merah menyala dan banyak didapati di Hawaii. Sayangnya, tumbuhan ini semakin pupus.

Satu demi satu, pokok in dilaporkan mati di kawasan tanah di pulau besar Hawaii dengan kadar yang tinggi. Sebelum ini, tumbuhan Ohia meliputi hampir separuh daripada keseluruhan tanah di gugusan kepulauan ini.

Kematian gugusan pokok muda ini, dalam skala besar dalam tempoh seminggu, mencetus misteri yang membimbangkan warga setempat.

Perkembangan itu juga memeranjatkan kerana tumbuhan dengan bentuk bunga yang amat menarik ini mampu hidup sehingga usia 600 tahun.

Penduduk Hawaii banyak bergantung kepada kekayaan khazanah alamnya sebagai produk tarikan pelancong.

Warga asal pulau di garis khatulistiwa ini juga menggunakan kayu keras daripada pokok ini untuk dijadikan senjata, perahu, binaan rumah dan memainkan peranan besar dalam aspek teologi golongan ini.

Portal Outside Online melaporkan, kajian ke atas serangan tersebut kini diperhalusi oleh US Forest Service dan juga University of Hawaii.

Antara teori yang berlegar setakat ini termasuk kesan aktiviti gunung berapi dan tindakan manusia yang memperkenalkan spesies asing ke kawasan itu.

Ini termasuklah tindakan memperkenalkan ternakan serta tumbuhan yang membunuh flora dan fauna asal di Hawaii.

Pengkaji US Forest Service, Flint Hughes sependapat dengan teori tersebut.

“Tetapi tiada siapa yang pasti, dari mana ia datang, dan bagaimana ia sampai di sana,” katanya seperti dipetik Outside Online.

starr-061204-1825-Metrosideros_polymorpha-flowers-Kulamanu_Kula-Maui

Comments

comments