‘Juruterbang helikopter berhak tunda penerbangan demi keselamatan ‘

FOKUS | Salhan K Ahmad

Kemalangan melibatkan helikopter mendapat perhatian meluas kerana ia jarang-jarang berlaku.


Juruterbang berpengalaman, Kapten Sean Mah yakin bahawa perkhidmatan penerbangan menggunakan pesawat helikopter adalah kaedah pengangkutan yang selamat.

Jelasnya, syarikat pengendali penerbangan helikopter serta juruterbang perlu mematuhi garis panduan bagi memastikan setiap penerbangan dilakukan dengan selamat.

Juruterbang bertanggungjawab membuat keputusan dalam setiap situasi bagi memastikan keselamatan penumpang dan pesawat, contohnya ketika berdepan dengan cuaca buruk, katanya.

“Jika keadaan cuaca tidak baik, kami boleh putuskan untuk tunggu sehingga cuaca bertambah baik, atau tunda penerbangan.

“Kita tahu, keadaan cuaca buruk di Malaysia tidak akan berlangsung dengan begitu lama. Ia pasti berhenti,” katanya kepada KEMBARA ketika dihubungi.

Ketua juruterbang SAS Helicopter itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan yang disuarakan pengguna Internet di laman sosial berhubung keselamatan perkhidmatan helikopter.

Kes dramatik

Kebimbangan itu timbul susulan kemalangan Khamis lalu di Betong, Sarawak, membabitkan helikopter jenis Eurocopter AS350 yang membawa orang kenamaan Malaysia.

helicopter 1Mengulas lanjut, Mah berkata kemalangan melibatkan helikopter mendapat perhatian meluas kerana ia jarang-jarang berlaku.

“Maka tentulah lebih dramatik apabila berlaku kemalangan melibatkan helikopter.

“Tetapi cuba bandingkan, berapa banyak kematian berlaku disebabkan kecelakaan jalan raya setiap hari?,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mah berkata beliau yakin bahawa khidmat helikopter masih diperlukan, terutama untuk kawasan dengan bentuk muka bumi yang mencabar seperti Sabah dan Sarawak.

Katanya, helikopter merupakan kaedah pengangkutan yang paling cepat kerana pesawat itu dapat melepasi kawasan pergunungan dengan mudah dan mendarat di pelbagai lokasi tanpa memerlukan landasan khas seperti kapal terbang.

Menurut Mah, beliau juga terlibat membawa penumpang di Sarawak ketika tempoh kempen pilihan raya negeri berlangsung sejak bulan lalu.

Pada waktu itu, beliau dapat mengamati sendiri bahawa keadaan cuaca di kawasan udara Sarawak ada kalanya buruk.

“Kami membuat penerbangan di sini dan keadaan cuacanya mencabar. Kami sememangnya menghadapi keadaan cuaca buruk,” katanya.

Jasad terakhir dijumpai

Dalam perkembagan berkaitan, pasukan keselamatan hari ini berjaya menemui jasad individu terakhir yang terlibat dalam tragedi nahas helikopter Eurocopter AS350.

Jasad tersebut yang dipercayai juruterbang helikopter, Kapten Rudolf Rex Ragas, seorang warga Filipina.

Kawasan SAR yang masuk hari keempat hari ini tertumpu di kawasan seluas 870 kilometer persegi di Sebuyau dan Lingga dekat Sungai Batang Lupar untuk mencari struktur utama bangkai pesawat.

Sehingga kini, lima mayat penumpang helikopter itu telah ditemui termasuk jasad suaminya Asmuni Abdullah serta MP Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Dua lagi adalah jasad Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.

Kemalangan itu berlaku ketika tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak ke-11.


SAS Helicopter dikendalikan oleh Systematic Aviation Services (SAS) yang menawarkan pakej terbang jelajah di ruang udara Langkawi dan Kuala Lumpur.

Anda ingin mengulas laporan ini? Tinggalkan komen atau hantar e-mel kepada [email protected]

Comments

comments