Ini dia formula rahsia untuk bina daya tahan

Oleh Maria Konnikova

Norman Garmezy, seorang pakar psikologi pembangunan dan klinikal di University of Minnesota menemui ribuan kanak-kanak semasa kajiannya sejak empat dekad lalu.

Daripada seramai itu, seorang kanak-kanak lelaki ini tidak dapat dilupakannya. Kanak-kanak itu berusia sembilan tahun. Ibunya kaki botol dan anak kecil itu juga diabaikan bapanya.

Kanak-kanak ini datang ke sekolah dengan membawa bekal sandwic yang sama setiap hari – dua keping roti yang tidak berisi apa-apa.

Tiada apa-apa makanan lain di rumahnya, dan tiada siapa yang boleh menyediakannya makanan. Sungguhpun begitu, Garzemy dapat mengingati semula bahawa kanak-kanak tersebut akan memastikan bahawa “tiada siapa akan berasa belas kasihan padanya dan tiada siapa akan tahu kelemahan ibunya”.

Setiap hari, kanak-kanak itu akan masuk ke kelas dengan membawa “sandwic roti” di dalam begnya dan senyuman lebar terukir di wajahnya.

Anak kecil yang membawa sandwic roti itu adalah sebahagian daripada satu kumpulan istimewa. Garzemy menyifatkan kumpulan kanak-kanak ini sebagai golongan yang berjaya, malah cemerlang, walau dengan keadaan yang begitu mencabar.

Menurut Garzemy, kanak-kanak ini menunjukkan sifat “berdaya tahan”. Ramai pengkaji lain menyebut Garzemy sebagai individu pertama yang mengkaji konsep ini dalam bentuk eksperimental.

Garzemy menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mengunjungi pelbagai sekolah di seluruh pelusuk Amerika Syarikat dengan menumpukan pada kawasan yang mengalami tekanan ekonomi.

Beliau akan diiringi seorang pekerja sosial atau seorang jururawat. Beliau akan membuat janji temu dengan pengetua sekolah dan mengemukakan soalan sama: Adakah terdapat mana-mana pelajar yang dibimbangi akan menjadi anak yang bermasalah, tetapi kemudiannya menjadi sumber kebanggaan?

Beliau akan bertanya kepada pengetua: “Bolehkan anda kenalpasti kanak-kanak yang tertekan tetapi mampu bertahan di sekolah ini?”

Menurutnya, pengetua yang ditanya akan terdiam lama sebelum mengemukakan jawapan

“Jika saya tanya, ‘Adakah pelajar di sekolah ini yang nampak terganggu?,’ mereka tidak akan tersentak dan terus menjawab.

“Tetapi jika ditanya mengenai kanak-kanak yang boleh menyesuaikan diri dan menjadi warga yang baik di sekolah dan tetap bertahan walau datang dari latar belakang keluarga yang sangat bermasalah – itu adalah persoalan baru. Itulah cara kami bermula.”

Daya tahan membawa cabaran kepada pengkaji psikologi. Persoalan mengenai daya tahan seseorang individu tidak bergantung kepada ujian psikologi tetapi cara perkembangan kehidupan.

Jika anda bernasib baik dan tidak pernah mengalami sebarang halangan, kita tidak akan tahu jika anda berdaya tahan.

Bila berdepan dengan halangan, tekanan dan menerima ancaman persekitaran ke atas daya tahan, barulah kita dapat tahu – adakah anda akan tewas atau berjaya mengatasinya.

Ancaman persekitaran boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Ada yang muncul kesan daripada status sosioekonomi yang rendah (yang dikaji oeh Garzemy).

Seringkali pula, ancaman seperti ini – ibu bapa dengan masalah psikologi atau isu lain; pendedahan pada keganasan atau layanan buruk; masalah penceraian – adalah begitu kronik.

Terdapat juga ancaman teruk seperti mengalami atau menyaksikan keganasan yang menyebabkan trauma, atau terlibat dalam kemalangan

Pengkaji lain sebelum ini menumpukan pada fokus berbeza ke atas trauma dan pengalaman hidup negatif. Pengkaji tersebut tidak melihat pada aspek kekuatan individu tetapi sebaliknya menumpukan pada kelemahan dengan menyiasat pengalaman yang membuatkan orang terjebak dalam kesengsaraan hidup.

Bersambung dalam bahagian akan datang.


Siri tulisan ini diterjemah dan disesuaikan dari tulisan asal yang disiarkan laman New Yorker.

Foto seorang atlet memanjat formasi batu kapur di Uri, Switzerland oleh Stefan Kürzi.

Comments

comments