Hati bergetar di Bang Rak, bertemu ulama lulusan Israel

Oleh Krew Aulia Films

Selepas menziarahi Masjid Tua Ton Son, kami melanjutkan perjalanan ke Masjid Haroon. Masjid tua ini dibina pada tahun 1828 oleh seorang kiai Indonesia, Toh Harun Bafaden.

Kini ia masih berdiri teguh sebagai pusat ibadah dan pengajian ilmu bagi penduduk Islam di wilayah Bang Rak.

Di sini, kami berpeluang untuk tinggal bersama seorang penduduk kampung Bang Rak, Tuan Nazir Muhammad yang berusia 79 tahun.

masjid ton sonIsterinya, Puan Rahimah lumpuh separuh badan. Rumah kecil mereka terletak bersebelahan kawasan kubur dan Masjid Haroon.

Kami tidur sebilik bersama mereka. Almari baju menjadi pemisah antara katil kami dan mereka berdua.

Malam itu, hati kami bergetar apabila mendengar doa panjang yang dibaca sang suami tua dengan penuh kasih sayang untuk isterinya yang sakit.

Dalam diam kami turut serta mengaminkannya.

Kami kemudiannya beriktikaf di Masjid Darul Aman di tengah-tengah kota Bangkok yang menempatkan lebih 400,000 jiwa Islam di antara 8 juta orang penduduknya.

Pertemuan semula

Azan yang dikumandangkan dan surah yang dibaca tersangat merdu kami rasakan. Kami harus meninggalkan masjid ini untuk menemui Ahmad dan Adilah yang tiba di Masjid Jawa keesokan harinya.

Sampainya kami dengan izin Allah Ta’ala di Masjid Jawa pada waktu Maghrib, langsung bertemu dengan Ahmad dan Adilah yang berada dalam keadaan sihat wal afiat.

aulia3Lega hati kami melihat senyuman di wajah suami isteri ini. Kali terakhir kami semua bertentang mata adalah sewaktu berada di Masjid Jamiatussholatin Awwalu, Chaiya.

Kami beriktikaf bersama Adilah dan Ahmad di Masjid Jawa hanya untuk satu malam sebelum dijemput ke Kedutaan Malaysia di Bangkok, untuk bersama-sama meraikan satu majlis Maulidur Rasul dan silaturrahim.

Ia dihadiri oleh segenap imam masjid di sekitar Bangkok dan anak-anak yatim Islam.

Beramai-ramai kami membaca selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad. Suasana pada malam itu sungguh indah kami rasakan.

Dari kedutaan Malaysia, kami berpisah kembali dengan Ahmad dan Adilah yang terlebih dahulu berlepas ke Mae Sot dan meneruskan perjalanan ke Myawaddy, Myanmar.

Kami tinggal di Bangkok untuk menguruskan visa perjalanan ke Myanmar, dengan itu kami merancang untuk kembali beriktikaf di Masjid Jawa, yang letaknya berhampiran dengan kedutaan Myanmar.

Ulama lulusan Israel

Sebelum tiba di Masjid Jawa, kami menziarahi dan menjalankan sedikit dokumentasi di Masjid Bang Luang, yang berusia lebih 200 tahun di wilayah Krung Thep.

Struktur luar dan dalamnya mirip sebuah wat Buddha yang telah di-Islamkan. Di Masjid Bang Luang, dengan izin Allah kami dipertemukan dengan dua pengembara Malaysia, Tuan Azman Wahab dan rakannya Tuan Nizam.

bkk malaysian embassyMereka dalam perjalanan pulang dengan bermotosikal dari Mae Sot ke tanah air tercinta.

Kami berada di sana tidak lama, sekadar satu jam sebelum bergerak semula ke Masjid Jawa.

Kedatangan kami ke Masjid Jawa buat kali kedua disambut mesra oleh jemaah di sana. Tanpa disangka-sangka, Allah mempertemukan kami dengan seorang tua bernama Tuan Haji Kamil Yaakob.

Beliau merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Yaakob Tua Legor, salah seorang anak murid Tok Kenali, ulama besar yang terkenal di Kelantan. Haji Yaakob merupakan antara ulama terawal yang membuka pondok di Nakhon Si Thammarat. Syukur kami pada Allah atas kurnia pertemuan ini.

Setelah urusan visa Myanmar selesai, kami menziarahi kediaman kecil Tuan Haji Kamil Yaakob dan isterinya, Puan Hajjah Zikri.

Walaupun kecil, rumah mereka cukup indah dengan hiasan kebun bunga, pohon mangga dan delima merah dan terasa nyaman walau terletak di tengah-tengah kota. Rumah mereka dipenuhi buku dan kitab lama hasil pengajian di usia muda.

Menuju Myanmar

Tuan Haji Kamil Yaakob pernah belajar di Jerusalem dan Pakistan. Beliau merupakan murid Islam paling cemerlang di universiti negara Israel, Histadrut International Institute.

Dengan licik, pihak universiti Israel berkali-kali meminta Haji Kamil menulis sebuah buku dengan tajuk ‘Islam: Glorious in the past, unknown in the future.’

Tuan Haji Kamil Yaakob berkata, beliau menolak permintaan untuk menulis buku tersebut dengan keras.

Setelah berborak dan dijamu buah delima segar, kami mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan suami isteri yang cukup comel itu dan memohon izin dan doa untuk meneruskan perjalanan ke Mae Sot dengan menaiki bas dan seterusnya memasuki sempadan Myanmar.

Kami diberi beberapa biji buah delima sebagai bekalan dalam perjalanan yang memakan masa lebih 7 jam. Kami akhirnya tiba di Mae Sot kemudian melanjutkan perjalanan ke sempadan Myanmar. Syukur ke hadrat Ilahi.

Moga Allah mempermudahkan perjalanan hidup kita semua, menghiasinya dengan hikmah sekaligus meredhai segala usaha agama kita.

Sesungguhnya tiadalah daya dan kekuatan kita semua melainkan dengan izin-Nya jua.


Aulia Films digerakkan oleh tiga anak muda – Amirul, Aiman dan Syafiq yang menggalas beg dan kamera. Pasukan ini bertindak sebagai sokongan dan mengikuti perjalanan Ahmad dan Adilah dengan berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam.

Tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KEMBARA.MY.

Baca catatan terdahulu:

Walau rumahnya kecil, jiwa orang Thailand besar

Kami melepasi sempadan Malaysia-Thailand pada hari ke-19 dengan segunung harapan. Kini barulah kami dapat rasakan bahawa pengembaraan ini benar-benar sudah bermula.

Kembara Memburu Hikmah di Segari, Lumut

Kami juga mengumpul maklumat masyarakat Islam yang memerlukan bantuan di sepanjang perjalanan ini.

Maklumat ini akan disusuli dengan sumbangan bantuan dari NGO MyCare, yang merupakan salah satu daripada penaja ekspedisi.

Comments

comments