Harimau pupus, Cambodia mahu import baka Malaysia

Badan pemuliharaan haiwan terancam World Wildlife Fund mengumumkan, harimau kini pupus sepenuhnya dari habitat asal negara Cambodia.

Laporan media antarabangsa menyebut, satu pelan khas terpaksa dirancang untuk membolehkan haiwan pemangsa tersebut diperkenalkan semula ke habitat berkenaan.

Pengarah WWF Cambodia, Chhith Sam Ath mengesahkan bahawa haiwan tersebut pupus disebabkan kegiatan pemburu haram.

“Hari ini, tiada lagi populasi pembiakan harimau yang tinggal di Cambodia, oleh itu, dari segi fungsinya, ia dianggap pupus,” kata Chhith seperti dikutip dalam laporan The Guardian.

Menurut WWF, imej harimau terakhir yang berjaya dirakam melalui perangkap kamera adalah pada 2007 di wilayah Mondulkiri.

Kerajaan Cambodia pada bulan lalu dilaporkan meluluskan pelan untuk memperkenalkan semula haiwan tersebut di kawasan hutan perlindungan di wilayah berkenaan.

Usaha berkenaan, dianggarkan melibatkan dana antara USD20 juta hingga USD50 juta akan dimulakan dengan baka dua harimau jantan dan anggaran lima hingga enam harimau betina.

Kerajaan Cambodia juga dilaporkan telah memulakan rundingan dengan negara jiran, termasuk Malaysia, India dan Thailand untuk membekal baka berkenaan.

Kumpulan pendesak melihat kepupusan itu berpunca dari kelemahan penguatkuasaan kerajaan yang menyebabkan peningkatan pemburuan dan kemusnahan habitat.

Perangkaan semasa menunjukkan jumlah harimau di seluruh dunia kini hanya berjumlah 2,154 ekor.

Comments

comments