Elak ‘tersangkut’ di Perth Airport

elak tersangkut di perth airport
Anda sudah merancang dan membuat persediaan untuk pergi ke Perth sejak sebulan lepas. Semua tempahan sudah dibuat tapi tiba-tiba kena tahan pula di lapangan terbang.

Australia merupakan antara negara yang mempunyai kawalan sempadan yang tegas, terutama di pintu masuk utama negara itu seperti di Lapangan Antarabangsa Perth (Perth Airport).

Elak pengalaman ngeri. Ikuti petua KEMBARA.MY:

Dokumen

  • Kad informasi ketibaan akan diedarkan kepada penumpang semasa dalam penerbangan. Sekiranya borang ini tidak dibekalkan kepada anda, dokumen ini boleh diperolehi di rak yang disediakan di kaunter imigresen di lapangan terbang.
  • Pastikan kad informasi telah diisi dengan betul dan ditandatangani. Gunakan pen mata bola dakwat biru atau hitam sahaja.
  • Pastikan anda membawa pasport dan kad informasi ketibaan ada bersama ketika menghampiri kaunter imigresen. Pisahkan pasport dari sarungnya.

Makanan

  • Apabila ditanya jika anda membawa makanan, jawab dengan jelas dan pastikan anda menanda di kad ketibaan. Lihat senarai makanan yang dilarang dan yang dibenarkan di sini.
  • Anda tidak perlu membawa banyak makanan kering kerana banyak restoran dan kedai runcit yang menjual makanan halal.
  • Sekiranya ingin bawa, senaraikan setiap makanan yang dibawa bagi memudahkan pemeriksaan.
  • Pastikan anda periksa beg galas anak-anak. Mungkin mereka menyimpan lebihan makanan yang anda tidak sedari.

Anjing pengesan
Jangan panik bila anjing pengesan dibawa untuk mengesan bahan-bahan terlarang.

Soalan lisan

  • Petugas imigresen biasanya terlatih untuk bertutur pelbagai bahasa. Jangan persendakan mereka dalam bahasa Melayu.
  • Jawab setiap soalan yang diaju oleh pegawai imigresen dengan tenang.

Ubat-ubatan
Pastikan anda membawa surat doktor jika ingin membawa ubat-ubatan dari Malaysia.

Bebas cukai

  • Rokok – anda dibenarkan membawa masuk 50 batang rokok atau 50 gram cerut atau produk tembakau lain.
  • Alkohol – hanya 2.25 liter minuman alkohol
  • Minyak wangi – tiada had kuantiti untuk kegunaan peribadi (termasuk pekatan).

Kemudahan muslim
Ruang solat terletak di sebelah kiri berhampiran tandas, di luar pintu pemeriksaan imigresen.Ruang solat ini tiada tirai pemisah untuk lelaki dan perempuan. Tempat wuduk juga disediakan.

Larangan
Anda tidak dibenarkan merakam sebarang foto di kawasan pemeriksaan imigresen dan kastam.
Kredit foto Sydney Travel.

Maklumat disediakan oleh Azlin Ahmad.

Comments

comments