Elak sakit belakang, pilih beg galas sesuai

Ramai pengembara memilih untuk memikul beg galas yang besar kerana ia cara paling mudah – masukkan segala keperluan dalam satu beg dan pikul.

Rekaan beg galas moden memberi banyak ruang dan boleh menyebabkan pengembara membawa beban yang lebih dari sepatutnya.

Keadaan ini akan memberi tekanan kepada individu yang menggalas beg tersebut, terutama jika anda mempunyai masalah tulang belakang seperti scoliosis.

anis hikingPengembara berpengalaman, Anis Ibrahim berkata salah satu cara untuk mengelakkan azab sakit belakang adalah dengan membawa beg yang betul.

Beg yang besar akan menyebabkan beliau membawa beban berlebihan.

“Saya tidak boleh membawa beban terlalu berat. Paling berat, saya hanya akan bawa 6 kilogram,” katanya kepada KEMBARA.

Katanya, beliau tiada masalah untuk membawa beban 10 kilogram sekiranya perjalanan itu hanya memerlukan beliau membawa beg dari rumah ke lapangan terbang dan tempat penginapan.

“Tetapi jika saya berjalan, ia perlulah kurang daripada itu,” tegasnya. Bekas wartawan dan peguam ini gemar mengikuti rentis panjang seperti laluan E4 yang menghubungkan Portugal dan Hungary.

Beg galas membebaskan tangan pembawanya daripada tugas memegang dan membawa barang, namun tidak semua beg sesuai dipikul oleh semua orang.

Badan perubatan tertentu misalnya mengesyorkan agar beban yang dibawa itu tidak melebihi 25 peratus dari berat badan pengembara.

Jenis dan saiz beg yang digunakan juga perlulah sesuai dengan jenis perjalanan dan tempoh pengembaraan.

Hujung minggu (1-3 malam; 30-50 liter)

Untuk kembara hujung minggu sahaja, beg dengan kapasiti muatan 30 hingga 50 liter sudah memadai. Begitupun, barangan yang dibawa perlu dimasukkan dengan cermat agar menggunakan ruang beg dengan optimum.

Seminggu (3-5 malam; 50-70 liter)

Untuk tempoh pengembaraan yang lebih panjang, beg dengan kapasiti 50 hingga 80 liter boleh digunakan. Beg dalam lingkungan saiz ini merupakan pilihan popular di kalangan pengembara.

Lebih seminggu (5+ malam; 70 liter atau lebih)

Tempoh perjalanan yang lebih daripada lima hari memerlukan beg dengan ruang lebih besar – 70 liter atau lebih.

Beg seperti ini amat berguna semasa perjalanan musim sejuk kerana ruang simpanan boleh digunakan untuk membawa pakaian tebal, beg tidur yang lebih hangat dan khemah empat musim.

Golongan ibu bapa yang membawa anak kecil juga memerlukan beg besar kerana perlu membawa keperluan anak-anak.

 


Anis Ibrahim berkongsi pengalaman kembaranya di laman Five Feet Flat.

Ikuti bahagian terdahulu: Pilih beg galas sesuai untuk wanita, pikul ikut keupayaan

Comments

comments