Kembara luar biasa mendiang Bruno Manser di alam Borneo

Buku terbaru tulisan wartawan Swiss, Ruedi Suter menawarkan sorotan baru ke atas misteri di sebalik kehilangan Bruno Manser – musuh utama penyangak kayu balak di hutan Borneo.

Dalam buku biografi bertajuk Rainforest Hero – The Life And Death Of Bruno Manser, Suter merakam perjalanan Bruno Manser ke Sarawak.

Suter tiba di Batu Lawi – lokasi terakhir di mana Bruno Manser dilihat buat kali terakhir bersama Nari, seorang penduduk Penan.

Biografi itu merakam kembara luar biasa Manser yang sanggup mengenepikan keselesaan hidup di Switzerland untuk tinggal bersama kaum Penan dan seterusnya menggerakkan kempen menyelamatkan hutan kesayangannya.

bruno manser coverBuku terbitan Strategic Information and Research Development Centre ini turut menelusuri pemikiran dan kehidupan Bruno dengan berpandukan diari dan wawancara dengan individu yang mengenalinya.

Antara lainnya, ia menjelaskan mengapa Bruno Manser sanggup merengkok di penjara kerana enggan menyertai perkhidmatan tentera.

Secara dasarnya, buku ini menggambarkan betapa Bruno Manser mencintai kedamaian dan sanggup berhijrah dari Switzerland pada 1984 untuk tinggal bersama masyarakat Penan.

Bruno menyesuaikan diri dengan belajar bahasa Penan, memburu haiwan bersama masyarakat tempatan dan turut mempelajari kekayaan khazanah hutan Sarawak.

Beliau mengagumi sikap masyarakat Penan yang menolak kekasaran dan kemurahan hati anggota komuniti tersebut.

Namun kedamaian hidup yang dikecapnya bersama masyarakat Penan menjadi rusuh apabila pembalak mula menjarah kawasan tersebut.

Pelbagai jenis pokok yang berusia ratusan tahun ditebang, yang menjejaskan sumber ekonomi dan memberi tekanan kepada masyarakat setempat

Lalu, Bruno tercampak ke kancah aktivisme untuk membantu warga Penan dan Kelabit menggerakkan bantahan dan menyekat kemasukan pembalak.

Buku ini sesuai dibaca oleh golongan yang berminat untuk mempelajari cara hidup warga pribumi Sarawak, isu pembalakan dan pemuliharaan alam sekitar dan aktivisme. Kali terakhir Bruno dilihat adalah pada 25 Mei, 2000.


Tulisan ini disesuaikan dari ulasan buku Rainforest Hero – The Life And Death Of Bruno Manser yang disiarkan laman star2.com bertarikh 27 April.

Pesanan boleh dibuat melalui Gerak Budaya.

Comments

comments