Booking.com, Agoda ada pesaing baru – Matta.Travel

TEKNOLOGI

Pasaran pelancongan dalam talian kini ditakluk oleh agensi pelancongan online seperti Agoda.com dan Booking.com yang merupakan firma asing. MATTA mahu mengubah keadaan.


Sebelum ini, ramai yang mungkin hanya mengenali Matta sebagai penganjur pameran jualan pakej pelancongan Matta Fair. Saban tahun, acara berkenaan menarik ribuan orang untuk mengunjungi Pusat Dagangan Dunia Putra untuk membeli pakej.

Persepsi itu mungkin akan berubah apabila badan induk bagi ejen pelancongan berdaftar Malaysia itu melancarkan portal khusus bagi memasarkan produk dari syarikat anggotanya, Rabu depan.

Timbalan presidennya, Rohizam Md Yusof berkata, portal Matta.Travel akan mengetengahkan produk daripada ejen pelancongan tempatan berdaftar dari kalangan anggotanya.

Katanya, portal berkenaan akan dipersiapkan dengan kemudahan bagi pelancong membeli pakej yang diminati.

Pada peringkat awal, usaha tersebut akan melibatkan antara 30 hingga 30 buah syarikat, katanya.

“Ini akan dapat membantu pengusaha kami belajar mengenai perdagangan dalam talian,” kata Rohizam kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, pasaran pelancongan dalam talian kini ditakluk oleh agensi pelancongan online seperti Agoda.com dan Booking.com yang merupakan firma asing.

Selain itu, portal berkenaan juga bagi mengatasi produk daripada agensi pelacongan tidak berdaftar yang banyak menggunakan aplikasi dalam talian.

Rohizam berkata, antara tarikan dalam portal matta.travel adalah perkhidmatan dan produk untuk pelancong yang memerlukan bantuan khas seperti kerusi roda.

Pakej yang ditawarkan juga akan dikhususkan mengikut kategori domestik, antarabangsa, umrah dan halal, tambahnya.

Katanya, portal matta.travel masa ini masih belum dapat diakses dan hanya akan dilancarkan pada 1 Jun.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan perkara itu dalam ucapannya di Muslim Travel Dialog 2016, satu bengkel untuk mempromosi pelancongan halal di rantau ini.

“Tujuan utama dialog ini adalah untuk mendedahkan anggota Matta kepada keperluan dan kehendak pelancong muslim di dunia.

“Pada masa sama, ia bertujuan untuk membantu mereka mengolah pakej pelancongan Islamik yang menarik,” kata Rohizam dalam kenyataannya.

Dalam forum berkenaan, para peserta mengikuti pembentangan dari wakil dari badan yang membangunkan produk halal Malaysia – Halal Industry Development Corporation dan Islamic Tourism Centre.

Selain itu, peserta turut mengikut pembentangan mengenai pasaran dan produk pelancongan halal dari wakil Korea Tourism Centre, Tourism of Thailand, Macao Government Tourism Office dan West Nusa Tenggara Tourism Promotion Board.


Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dianggotai lebih 3,200 agensi pelancongan tempatan.

Comments

comments