Boleh lupa dunia bila berbasikal di Karakoram Highway

Oleh Mahazizi Abd Latif

Pada awalnya, saya beranggapan bahawa Pakistan hanyalah sebuah negara miskin yang sering dilanda konflik.

Melalui media, saya mendapat gambaran bahawa Pakistan adalah tempat berlaku insiden pengeboman dan tembak-menembak melibatkan kumpulan militan yang tidak sudah-sudah.

every inch of the area in Kashgar is occupied by sellers and street vendors, even inside the subway staircaseSaya juga tahu bahawa ramai pedagang dahulu kala kehilangan barang dagangan di tangan perompak ketika menelusuri Laluan Sutera dari China ke Eropah.

Perkara itulah yang menakutkan orang untuk melawat Pakistan, sedangkan negara bertuah ini kaya dengan keindahan alam.

Kini, sebahagian daripada laluan bersejarah ini dinamakan Karakoram Highway yang menghubungkan Kashgar di China dan Islamabad di Pakistan.

Kawasan genting yang menjadi sempadan ini digelar Khunjerab Pass. Ia terletak pada ketinggian 4,700 meter yang menjadikannya lintasan sempadan dengan laluan berturap paling tinggi di dunia.

Sempadan ini memisahkan daerah Gilgit-Baltistan dan Hunza-Nagar di sebelah Pakistan dan wilayah Xinjiang di sebelah China.

Di laluan terpencil ini, para pedagang dahulu kala mengenderai haiwan dan membawa rempah, sutera dan pelbagai barang dagangan.

Azan tanpa pembesar suara

Perjalanan saya bermula di Kashgar, di mana saya berpeluang singgah dan bersolat di Masjid Id Kah, masjid terbesar di China yang dibina pada tahun 1442.

Melihat cara hidup masyarakat Islam Uyghur di sini, saya berasa insaf.

Id Kah mosque di Kashgar Xinjiang

Walaupun orang warga Islam membentuk kumpulan majoriti di Kashgar, mereka tetap menjadi minoriti di China.

Golongan ini berupaya menjalankan kewajipan sebagai orang Islam walaupun secara dasarnya mendapat halangan daripada kerajaan China.

Mereka tidak dibenarkan menjalankan undang-undang syariah, masjidnya pula tidak boleh menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan.

Mahazizi azan tidak boleh dikuatkan di Kashgar maka struktur ini membantu agar muazzin dapat memperkuatkan suaranyaJadi, mereka perlu melaungkannya daripada struktur pondok seperti ini (lihat gambar kiri), yang dibina khas untuk melontarkan suara bilal ke seluruh kawasan sekitar masjid.

Lokasi Kashgar begitu strategik sejak sekian lama sebagai pintu masuk utama ke China mengikut Laluan Sutera dan di tengah-tengah empayar China, Turki, Mongol dan Tibet.

Kesan ini masih kekal hingga ke hari ini. Bazar di kawasan kota ini dipenuhi pelbagai jenis peniaga.

Jalan teruk, apa faedahnya?

Barangan berharga, kumpulan kecil pedagang yang bergerak dalam kafilah, dan kawasan terpencil – ini adalah resipi untuk rompakan mudah.

Id Kah mosque di Kashgar Xinjiang no adzanGunung dan lembah di sini menjadi saksi ketamakan dan keganasan sejak sekian lama.

Laluannya juga sukar. Walaupun diturap, di kebanyakan tempat, keadaan jalannya teruk. Ada saja bahagian jalan yang runtuh akibat keadaan cuaca buruk.

Kawasan yang tidak berturap pula tidak boleh dilalui sama sekali ketika hujan lebat. Cara paling baik untuk melalui jalan ini adalah dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Tapi saya memilih basikal.

Rancangan asal saya adalah untuk berbasikal dari Xinjiang ke Lahore, namun saya disekat daripada menyeberangi genting Khunjerab Pass dengan basikal, atas alasan keselamatan.

Saya terpaksa mengambil van tambang dari Tashkurgan ke Sost, melibatkan perjalanan kira-kira 300 kilometer.

Tabir syurga terbuka

Dari dalam kenderaan itu, tidak banyak yang dapat dilihat ketika saya digoncang dan dihumban ke segenap arah, setiap kali van terjun ke dalam lopak atau melanggar batu.

tasik KarakulPada hari seterusnya, dengan berbasikal, barulah saya dapat mudik semula melalui jalan sama ke puncak Khunjerab dan turun semula ke Sost.

Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika menatap pemandangan yang begitu indah waktu itu.

Hinggakan, saya terlupa bahawa saya sebenarnya berada di dunia!

Di sebelah kanan adalah Wakhan Corridor National Refuge, kawasan terpencil yang dihuni nomad Kyrgyz.

© Mahazizi Abd LatifTanah lembah Afghanistan ini dipagari gunung raksasa dengan puncak dilitupi salji.

Warganya bergelut dengan sejarah sukar serta konflik ratusan tahun.

Sejak 1870-an, kuasa British dan Russia menjadikan Wakhan Corridor sebagai kawasan penampan untuk mengelak pertempuran di antara kedua-duanya.

Revolusi yang meletus di Russia dan China selepas itu membentuk tembok kuasa baru yang memencilkan lagi kawasan dengan garis pusat sepanjang kira-kira 300 kilometer ini.

Keindahan zahir

Mereka menggelar lembah keras yang terbentuk akibat sesaran glasier ini dengan nama Bam-e Dunya yang bermaksud “rabung dunia”.

Di celah-celah gunung yang menjulang ke ketinggian 14,000 kaki ini, warga Kyrgyz berlindung dari tiupan angin sejuk yang kencang.

Kehidupan warganya begitu payah, namun dari kejauhan ini, hanya keindahan wajah alam yang dapat dilihat secara zahir.

Di sebelah kiri pula adalah pergunungan Karakoram yang juga memukau pandangan.

Di tengah-tengah pergunungan Karakoram ini ialah Chhongori, nama tempatan untuk puncak gunung K2 – puncak kedua paling tinggi di dunia.

A local hunza house converted into a grocery and souvenir shopInilah kawasan yang dianggap paling indah di Pakistan. Lupakan Itali dan Perancis. Inilah laluan yang harus menjadi pilihan utama setiap pengembara berbasikal.

Keadaan cuaca ketika kunjungan saya pada bulan April dan Mei cukup baik. Sepanjang sebulan di sini, saya berasa begitu selamat walau dengan begitu banyak pos kawalan tentera

Seterusnya di wilayah Kohistan, sekali lagi saya terpaksa memuatkan basikal dan segala keperluan ke dalam perut bas, yang diiringi anggota tentera bersenjata.

Kemurahan hati

Di sepanjang laluan di wilayah ini, saya perlu merekodkan destinasi di setiap pos kawalan. Segala tindak-tanduk saya diperhatikan oleh anggota bersenjata.

Salah satu pos tentera yang perlu disinggahi adalah di Patan. Saya turun dari bas, serah pasport dan daftar nama seperti ditetapkan.

Di hadapan saya, empat orang anggota tentera berdiri tegak. Salah seorang daripada mereka, seorang pegawai bertanya – apa yang terjadi pada bibir saya?

Cuaca kering dan sejuk di wilayah utara menyebabkan bibir Melayu Terengganu ini kering dan pecah-pecah. Mendengar jawapan saya, beliau bergegas masuk ke dalam pos dan kembali semula dengan losyen untuk bibir saya.

Saya terkejut kerana pegawai yang kelihatan kasar dengan perawakan tegas itu rupa-rupanya begitu murah hati.

Saya hanya mampu menjabat tangannya dan mengucapkan terima kasih. Lantas beliau memeluk saya dan mengucapkan “Alhamdulillah”.

Saya tidak menyangka bahawa mereka begitu prihatin pada keselamatan saya.

 


Mahazizi Abd Latif, 34, bertugas sebagai seorang pengurus di syarikat petroleum negara, Petronas.

Bapa kepada dua orang anak ini berhasrat untuk kembali ke Pakistan untuk melawat Swat Valley, Chitral and Hunza.

Tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KEMBARA.MY.

Comments

comments