Biarlah apa orang fikir, kata jurugambar Malaysia yang dakwa ceroboh Fukushima

Jurugambar Malaysia, Keow Wee Loong menganggap segala kritikan ke atas tindakannya menceroboh ke kawasan dicemari radioaktif di Fukushima, Jepun sebagai “tidak relevan”.

Sebagai seorang jurugambar, beliau hanya bertanggungjawab untuk merakam foto, tegas Keow yang mempertahankan tindakannya.

“Apa yang orang lain fikir, tidak relevan bagi saya. Orang yang benci, tetap akan benci. Mereka juga tidak tahu cerita sebenar.

“Mereka boleh tulis apa sahaja yang mereka mahu. Mereka berhak suarakan pendapat ke atas saya, dan saya berhak berpegang pada perspektif saya,” katanya ketika dihubungi KEMBARA.MY.

Ribuan pengguna Facebook menyukai set gambar yang dimuatkan di laman sosial itu. Ia antara lainnya menunjukkan beliau hanya berseluar pendek, berbaju panas, berselipar ketika memasuki kawasan yang dicemari radiasi di Fukushima.

Satu-satunya alat keselamatan yang digunakannya adalah topeng gas.

Selain itu, gambar itu juga menunjukkan kerosakan struktur bangunan akibat gempa bumi kuat, serta kenderaan yang ditinggalkan di bandar yang tak ubah seperti padang jarak padang tekukur itu.

Tindakan Keow yang menceroboh ke kawasan larangan yang dicemari radiasi nuklear  itu meraih pelbagai reaksi daripada pemerhati dan warga pengembara.

Ada yang berpendapat, rakaman lensa Keow di Fukushima itu tidak lebih dari satu lagak ngeri untuk meraih publisiti murahan. Paling lantang adalah kiritikan melalui satu surat terbuka kepada Keow dalam sebuah blog, tulisan seorang individu yang hanya ingin dikenali sebagai Pierce.

Dalam surat berkenaan, individu berkenaan mendakwa terpaksa menulis di blog berkenaan selepas disekat daripada mengulas di laman Facebook jurugambar tersebut.

Pierce antara lain mempersoalkan kenyataan Keow, bahawa gambar berkenaan bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kesan “tenaga nuklear”.

“Jelas sekali bahawa projek ini direka untuk melonjakkan diri anda di mata umum dan bukannya untuk menghasilkan mesej bermakna mengenai Fukushima yang ingin diketahui oleh dunia,” kata Pierce.

Kalangan pengembara Malaysia turut berkongsi sentimen yang sama. Aggota BBM, Nadirah Babji malah kecewa kerana tindakan Keow dipromosi oleh media berkaitan pengembaraan.

“Memanglah, dia nampak kool dan berani. Tetapi bila (Keow) melanggar undang-undang dan mempertaruhkan nyawa, tidak kool langsung.

“Orang seperti ini tidak harus jadi popular. Saya harap blog atau laman web pengembara patut bikak untuk menyebarkan seseuatu perkara.

“Pastikan kesannya kepada masyarakat, adakah akan mendidik ke arah (keadaan) lebih baik atau tidak. Lahirkanlah lebih ramai traveler bertanggungjawab.

Pupuk kesedaran bahaya nuklear?

Seorang lagi anggota BBM, Amy Ariff melihat bahawa tindakan Keow itu turut menyakiti hati mangsa bencana di Jepun.

“Dalam kita sibuk nak jadi langka, kita dah sakiti hati orang yang baru ditimpa kesusahan. Fikir-fikirlah sebelum nak buat benda yang kita rasa cool. Jadilah traveler bertanggungjawab,” ujarnya.

Gambarnya itu diterbitkan oleh pelbagai media antarabangsa, termasuk TIME, yang membuatkan Keow bangga.

Beliau turut diwawancara oleh pelbagai media, termasuk tabloid British, Daily Mail serta rangkaian TV CNN, yang berminat untuk mengetahui mengenai tindakannya itu.

Itulah “impian yang menjadi kenyataan” apabila beliau tidak putus-putus mencuba, kata pemuda berusia 27 tahun itu di Facebook.

“Saya gemar merakam tempat yang orang tidak kunjungi,” kata Keow kepada Time dalam laporan Rabu lalu.

Tegasnya, beliau ingin memupuk kesedaran mengenai kesan tenaga nuklear melalui rakaman gambar berkenaan.

Gambar-gambar berkenaan antara lainnya memaparkan keadaan kedai barangan serbaneka di kawasan kejiranan yang ditinggalkan penduduk ekoran pencemaran radiasi di Fukushima.

Ia turut memaparkan imej dirinya yang hanya berselipar, berseluar pendek, baju panas serta topeng pernafasan.

Mengulas mengenai kemunculan imej beliau dalam gambar tersebut, Keow berkata ia bertujuan untuk menunjukkan jiwa gambar berkenaan.

“Sebabnya, gambar tanpa manusia di dalamnya adalah gambar yang tiada jiwa,” kata jurugambar itu yang berpengkalan di Bangkok.

Comments

comments