Bawa pulang berkat dari Tanah Suci, elak musibah

Seramai lebih 30,000 jemaah haji dari Malaysia bersama jutaan lagi umat Islam menunaikan ibadah haji di Tanah Suci pada tahun ini. Ribuan lagi rakyat Malaysia akan menyusul menjelang hujung tahun ini bagi menunaikan ibadah umrah.

Perhimpunan besar umat Islam dari negara-negara di seluruh dunia ini meningkatkan risiko penyebaran pelbagai jangkitan termasuk yang boleh mengakibatkan maut atau kecacatan kekal.

Hal ini menyebabkan kerajaan Arab Saudi menetapkan dasar mewajibkan pengambilan sesetengah vaksin sebagai langkah pencegahan, kata seorang bekas ketua pasukan perubatan bagi jemaah haji, Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif

Menurutnya, sejak tahun 2001 lagi jemaah yang bakal ke Tanah Suci diwajibkan mengambil vaksin meningokokus kuadrivalen untuk memperolehi kelulusan visa.

Dr Abdul Razak berkata, kadar kematian bagi pesakit yang menghidap penyakit meningokokus adalah tinggi.

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis (meningokokus) ini amat merbahaya kerana ia menyebabkan komplikasi yang amat serius seperti radang selaput otak & saraf tunjang (meningitis) dan jangkitan kuman dalam darah (septisemia).

Kadar kematian bagi kedua-dua komplikasi masing-masing adalah mencecah sehingga 10% dan 40%.

Radang selaput otak & saraf tunjang (meningitis)
Kematian: 5% – 10% (1 daripada 20 atau 1 daripada 10) pesakit yang dijangkiti.
Kecacatan kekal:
-Kecacatan otak
-Pekak

Jangkitan kuman dalam darah (septisemia)
Kematian: hingga 40% daripada pesakit yang dijangkiti.
Kecacatan kekal (1 daripada 5 yang terselamat):
– Pekak
– Kecacatan saraf
– Kehilangan anggota badan

Menurut Dr Razak lagi, selain jemaah haji, jemaah umrah juga berisiko tinggi mendapat jangkitan meningokokus kerana ia mudah merebak apabila terdapat terlalu ramai orang yang menetap atau berkumpul di satu-satu kawasan.

Bakteria tersebut merebak melalui cecair saluran pernafasan apabila bersin, batuk, berkongsi peralatan makanan, ciuman dan sebagainya.

Sebahagian individu yang terdedah kepada bakteria ini akan mendapat penyakit, manakala sebahagian lain akan menjadi pembawa bakteria tersebut.

Sebelum pengambilan vaksin meningokokus kuadrivalen diwajibkan, jumlah pembawa kuman meningokokus di kalangan jemaah yang menunaikan haji ini meningkat dengan mendadak, kata pensyarah perubatan dan penyelidik kesihatan jemaah haji, Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab.

Pengkaji dari Universiti Sains Malaysia itu menyebut, peratusan pembawa kuman di kalangan jemaah dikesan meningkat daripada 2.6% kepada 53%, sebelum pengambilan vaksin ini diwajibkan.

Wabak tersebut merebak selepas musim haji, membabitkan negara di seluruh dunia dan banyak membabitkan jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing serta orang yang rapat dengan mereka.

Ini bermakna jemaah haji atau umrah yang menjadi pembawa bakteria meningokokus bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah boleh membawa ancaman kepada orang di sekeliling apabila mereka pulang ke negara masing-masing – terutama golongan berisiko tinggi seperti mereka yang mengidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Lindungi diri dan masyarakat

Katanya, jemaah haji dan umrah perlu mengambil langkah-langkah pencegahan bagi melindungi diri mereka dan orang-orang disekeliling mereka. Salah satu cara terbaik untuk membantu mencegah penyakit meningokokus adalah dengan mengambil vaksin.

Kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah haji dan umrah menghantar sijil pengesahan pengambilan vaksinasi meningokokus kuadrivalen untuk permohonan visa. Sijil vaksinasi meningokokus kuadrivalen ini hanya sah dalam tempoh 3 tahun selepas pengambilan vaksin berkenaan

Vaksinasi juga perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh ketibaan di tanah suci.

Terdapat dua jenis vaksin meningokokus di Malaysia:
1. Vaksin Konjugat Kuadrivalen (ACYW) – Memberi perlindungan untuk diri dan keluarga.
2. Vaksin Polisakarida Kuadrivalen (ACYW) – Memberi perlindungan untuk diri, tetapi individu masih boleh menjadi pembawa kuman meningokokus dan menyebarkan kuman ini.

Pada tahun 2014, kumpulan pakar di Timur Tengah mencapai satu konsensus bahawa Vaksin Konjugat Kuadrivalen adalah efektif dalam mencegah penyebaran penyakit meningokokus.

 


Tulisan ini disumbangkan oleh sekretariat kempen imunisasi sepanjang hayat Immunise4Life dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan disokong oleh GlaxoSmithKline.

Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau emel kepada kami: [email protected]

Comments

comments