Bagaimana orang Islam mahu lawat AS bila Trump jadi presiden?

Oleh Salhan K Ahmad

Sebelum tarikh 9 November lalu, ramai menganggap bahawa rancangan Donald J Trump untuk menyekat orang Islam dari memasuki Amerika Syarikat sebagai satu jenaka.

Sewaktu memulakan kempen pilihan raya presiden, 15 bulan lalu, beliau mencanangkan untuk membuat sekatan “habis-habisan dan sepenuhnya” ke atas orang Islam.

Sekiranya rancangan itu dilaksana, ia bukan sahaja menyekat orang Islam dari luar tetapi juga akan menyulitkan perjalanan kira-kira tiga juta warganya yang beragama Islam.

Semasa kempennya, Trump juga menyatakan rancangan untuk membolehkan warga Islam di Amerika Syarikat didaftarkan dalam satu pengkalan data rasmi kerajaan.

Melalui kaedah ini, orang Islam Amerika akan diwajibkan untuk membawa kad pengenalan khas pada setiap masa.

Cadangan itu menerima kritikan keras dari pemerhati hak asasi dan golongan rasional yang melihatnya tidak ubah seperti kawalan Nazi Jerman ke atas warga Yahudi.

Jutawan yang terkenal dengan tabiat cakap lepas itu menjelaskan di Twitter pada tahun lalu bahawa langkah tersebut adalah satu tindakan pengurusan yang baik.

Ada kalangan pemerhati yang berpendapat, cadangan seperti itu hanyalah gimik pilihan raya semata-mata dan mustahil dapat dilaksanakan.

Namun, lebih 60 juta yang memilih Trump sebagai presiden secara tidak langsung menyokong rancangan dan sentimen xenofobia dan Islamofobia yang ditiup oleh jutawan berkenaan.

Selain Trump, calon parti Republican terdahulu sememangnya sering menggunakan modal anti-Islam semasa berkempen. Ada yang mengesyorkan agar orang Islam membuat ikrar setia khusus untuk berkhidmat dalam kerajaan.

Ada juga yang berhasrat untuk tidak membenarkan sama sekali orang Islam berkhidmat dalam kerajaan.

Ada pula yang menyifatkan Islam sebagai “satu agama yang mempromosi kekacauan yang paling membinasakan di planet ini.”

Perkembangan dalam beberapa hari ini menunjukkan bahawa usul Trump untuk mendaftar orang Islam itu mungkin tidak dilaksanakan, namun orang Islam tetap akan menjadi tumpuan di pintu masuk sempadan.

Perkara itu dibayangkan oleh bekas presiden parti Republican, Reince Preibus yang baru dilantik oleh Trump sebagai ketua kakitangan White House yang baharu.

Menurut Preibus, walaupun rancangan untuk mendaftar orang Islam tidak akan dijalankan, sekatan tetap akan dilaksana ke atas individu tertentu.

“Saya tidak menolak apa-apa (kemungkinan). Kita tidak akan adakan pendaftaran berdasarkan agama.

“Tapi… jika ada sesetengah orang, tentulah bukan semua orang… ada sesetengah orang yang menjadi radikal.

“Dan ada sesetengah orang yang perlu disekat daripada memasuki negara ini,” katanya seperti dilaporkan laman NBC News.

Rancangan itu juga tidak disenaraikan dalam perkara yang hendak dilaksanakan Trump sepanjang 100 hari pertama pentadbirannya.

Turut digugurkan dari senarai adalah janji kontroversi untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico dan menubuhkan pasukan khas untuk menghantar pulang pendatang.

Apa yang tersenarai adalah sasaran mudah yang tidak memerlukan kelulusan kongres AS seperti soal Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, membatalkan kawalan alam sekitar dan menyiasat kes penyalahgunaan visa.

Sehingga hari ini, belum ada tanda jelas mengenai bentuk kawalan ke atas orang Islam yang akan dilaksanakan di AS. Namun kita mungkin akan dapat gambaran sepenuhnya apabila Trump sah dilantik sebagai presiden pada 20 Januari.


Anda ingin tambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami: [email protected]

Comments

comments