Apa yang perlu dibawa? Panduan untuk pengembara berbasikal

PANDUAN | Mahazizi Abd Latif

Setiap pengembara berbasikal mempunyai sebab tersendiri dalam memutuskan untuk membawa atau meninggalkan sesuatu kelengkapan atau peralatan.

Ada pengembara yang hanya membawa peralatan asas untuk ikhtiar hidup dan ada pula yang akan menyarankan untuk membawa segala kelengkapan harian yang anda perlukan.

Bagi individu yang baru mula membuat persediaan untuk mengembara dengan basikal, mungkin sukar untuk memutuskan sama ada untuk membawa atau meninggalkan sesuatu alat dan kelengkapan. .

Penilaian dan keputusan inilah yang akan memastikan kayuhan anda tidak akan terbeban dengan kelengkapan yang tidak perlu.

Vietnam Heike PirngruberBerdasarkan pengalaman penulis, berikut adalah faktor yang perlu diambil kira untuk menentukan kelengkapan yang perlu dibawa:

1. Laluan bandar atau luar bandar? Sekiranya memilih laluan luar bandar, anda akan lebih sukar mendapatkan bekalan makanan, kelengkapan peribadi dan peralatan basikal. Jika pengembaraan tersebut banyak melalui kawasan bandar, anda mungkin tidak perlu membawa khemah kerana boleh memilih untuk menginap di hotel bajet dan hostel kembara.

Anda juga boleh mendapatkan peralatan yang diperlukan di kawasan bandar dengan mudah semasa dalam perjalanan dan tidak perlu membawa segala-galanya sejak awal lagi.

2. Jenis iklim. Sekiranya menempuhi musim dingin, anda perlu membawa pakaian, khemah, beg tidur serta peralatan lain yang lebih sesuai – dan lebih berat.

3. Kembara solo atau berteman? Jika mengembara seorang diri, anda harus membawa sendiri segala kelengkapan yang diperlukan. Jika berdua atau dalam kumpulan, anda boleh berkongsi untuk membawa barangan tertentu sepeti khemah, alat memasak.

4. Jarak kayuhan. Sekiranya lebih jauh, anda perlu membawa lebih banyak peralatan. Bahagian basikal yang mudah lusuh juga perlu diganti seperti kabel, gegancu, rantai dan bearing.

5. Berat kelengkapan. Alah bisa tegal biasa. Beban itu tidak akan begitu terasa apabila anda sudah terbiasa, namun anda boleh memilih komponen dan peralatan yang lebih ringan untuk mengurangkan beban. Walaupun kecil, setiap satu alat akan menyumbang kepada jumlah beban yang perlu dibawa.

6. Kewangan. Kayuhan yang mengambil masa lebih lama akan memerlukan lebih banyak dana.

7. Kemampuan diri. Ikuti panduan ini untuk meningkatkan ketahanan dan kemampuan untuk kayuhan jarak jauh dengan membawa bebanan [Tiga petua penting untuk berbasikal jarak jauh]

8. Jenis basikal. Banyak pengeluar basikal kini berlumba-lumba untuk menawarkan model paling menarik untuk menguasai pasaran basikal kembara yang kini semakin popular. Ada pengembara yang menyarankan untuk mengguna basikal kembara atau ekspedisi yang direka khas untuk pengembaraan. Ikuti kupasannya dalam siri akan datang.


Gambar utama menunjukkan Mahazizi dengan basikal yang ditunggangnya semasa merentasi Lebuh Raya Karakoram dari China ke Pakistan.

Anda ingin menambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen anda di bawah atau e-melkan kepada kami ([email protected]).

 
 
 
 

Comments

comments