Apa salahnya naik gajah? Bergambar dengan harimau?

ALAM

Tidak ramai yang dapat menyedari sekiranya sesuatu tempat pertunjukan mengamalkan kekejaman ke atas binatang kerana ia tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar.


Kalangan pengembara biasanya terdiri daripada golongan pencinta alam yang sanggup menghabiskan wang dan waktu untuk menatap keindahan alam dan penghuninya.

Salah satu cara paling mudah untuk melihat haiwan ini adalah di kawasan pertunjukan haiwan. Namun, tidak ramai yang dapat menyedari sekiranya sesuatu tempat pertunjukan mengamalkan kekejaman ke atas binatang jagaan tersebut.

Kekejaman seperti ini tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar kerana terselindung di sebalik paparan comel dan ketaatan haiwan berkenaan.

Dikurung, dipukul, ditusuk paku

Sebagai contoh, perkhidmatan menaiki gajah bukanlah kegiatan yang nampak zalim. Apalah sangat beban untuk memikul beberapa orang manusia di atas belakangnya?

Sebaliknya, cara asuhan gajah berkenaan sangat kontroversi. Satu siasatan National Geographic mendapati, kaedah yang digunakan itu digunakan untuk mendidik anak gajah berkenaan sejak kecil lagi.

Di Thailand, pasukan siasatannya mendapati ada jurulatih gajah yang menusuk kayu dengan paku tajam ke kaki haiwan tersebut semasa latihan. Seandainya binatang tersebut enggan menurut arahan, ia akan dipukul.

smerikal elephant ride dubareMenurut laporan majalah tersebut, badan gajah berkenaan didapati berlumuran darah dari kesan luka dan juga akibat ikatan selepas dikurung antara tiga hingga enam hari.

Selepas itu, gajah berkenaan akan dikurung semula untuk tempoh yang berterusan selama berminggu-minggu.

Namun tidak ramai yang mampu mengenalpasti tempat pelancongan yang mengamal kekejaman pada haiwan pertunjukan, kata Adam Roberts, seorang aktivis kebajikan haiwan di Amerika Syarikat.

“Pelancong biasa tiada kemampuan untuk mengenalpasti kezaliman pada haiwan kerana kekejaman itu tidak nampak secara zahir,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Tanpa menamakan mana-mana pusat pertunjukan secara khusus, National Georgraphic mendakwa terdapat juga pengusaha di Asia yang membela beruang untuk mendapatkan cecair hempedu haiwan tersebut.

Terasing dari habitat asal

Beruang hitam Asia ini dikurung dalam sangkar kecil. Badannya dicucuk dengan wayar, yang menembusi hempedunya untuk mendapatkan cecair berkenaan, lapor majalah tersebut melalui lamannya pada 19 Mei.

Menurut National Geographic, pusat sebegini memperolehi wang sampingan dengan menjual tiket kepada pelancong yang ingin melihat beruang berkenaan.

Selain itu, isu kezaliman seperti ini juga dibangkitkan terhadap pengusaha kolam renang bersama ikan lumba-lumba, pertunjukan orca, dan tempat yang menawarkan peluang bergambar dengan singa, harimau dan juga monyet.

Menurut laporan itu, haiwan di tempat seperti ini lazimnya terkurung dan berada dalam tempat tidak sesuai, terasing dari habitat asal dan tidak mendapat akses rawatan.

Interaksi dengan manusia juga menyebabkan trauma kepada binatang terlibat, yang menyebabkan tempoh hayatnya menjadi lebih singkat – dan seterusnya mengakibatkan lebih banyak haiwan liar dimasukkan ke dalam industri pelancongan.

Baca bahagian pertama: TripAdvisor kaut untung dari kekejaman pada haiwan?



Harimau liar di habitat semulajadi Russia dan Asia hanya berjumlah kira-kira 3,000 ekor. Sebanyak 5,000 ekor lagi dianggarkan dikurung oleh pemilik persendirian di Amerika Syarikat.

Comments

comments